SPRM kesan lima bank utama disyaki transit wang haram

0
172

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan lima bank di negara ini digunakan sindiket penipuan antarabangsa untuk membuat transaksi wang haram ke luar negara.

Maklumat berkenaan diperoleh susulan siasatan lanjut SPRM berkait Op Tropicana selepas menahan 11 individu termasuk sindiket menerusi didalangi oleh warganegara United Kingdom (UK).

“Sindiket berkenaan dipercayai mampu membuat transaksi wang kira-kira RM1 juta setiap hari.

“Bank terbabit berperanan mewujudkan akaun bank untuk kegunaan sindiket dalam proses pemindahan wang ke luar negara.

“Ada pegawai bank di institusi berkenaan dibayar antara RM1,000 sehingga RM2,000 bagi melepaskan transaksi berkenaan tanpa melalui tapisan dan prosedur operasi standard (SOP),” menurut sumber kepada Utusan Malaysia.

Sumber itu berkata, kira-kira lima hingga 20 pegawai bertugas di bank berkenaan dikenal pasti terlibat dalam aktiviti itu.

“Akaun ini adalah transit kerana sindiket akan memindahkan wang terbabit ke dalam akaun sebenar,” katanya.

Mengulas lanjut, sumber berkata, SPRM turut mengenal pasti syarikat ‘palsu’ digunakan sindiket bagi mengaburi kegiatan penipuan mereka.

Kata sumber, turut terlibat ialah golongan profesional dipercayai peguam, juruaudit, setiausaha syarikat, akauntan serta pengarah syarikat disyaki bersekongkol dengan sindiket.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati syarikat berkenaan telah didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang diwujudkan bagi proses pemindahan wang.

Jelasnya, pemindahan wang berkenaan dipercayai akan dihantar ke Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Hong Kong dan UK.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AML) SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih berjalan.

“SPRM akan menuduh dua warga UK yang disyaki dalang sindiket di Mahkamah Shah Alam esok.

“Kita akan teruskan siasatan meskipun dua individu termasuk dalang sindiket ini dituduh esok,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here