Lantikan Asyraf Wajdi pengerusi Mara boleh beri gambaran habuan politik – Shahril

0
352

PELANTIKAN bekas ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki untuk menerajui Mara boleh memberi gambaran kepada rakyat ia “habuan politik”, kata Shahril Hamdan.

Bekas ketua penerangan Umno itu berkata, kemampuan Asyraf dalam bidang korporat sememangnya tidak boleh dinafikan, namun wujud persoalan adakah pelantikan itu habuannya berada dalam kem Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah.

“Dari segi kemampuan, saya yakin Asyraf mampu, tetapi tak boleh dinafikan persepsi bahawa dia betul-betul menjadi penyokong kuat Zahid, iaitu menteri kemajuan desa dan wilayah dan presiden Umno.

“Rakyat melihat benda ini seolah-olah habuan kepada (mereka) yang berada dalam pasukan politik yang menang,” katanya dalam podcast “Keluar Sekejap” yang dikendalikan bersama Khairy Jamaluddin.

“Dalam kes Asyraf ini, nampak seolah-olah sebagai habuan. Asyraf dah lama rancang, anda (Shahril) yang lalai,” seloroh Khairy, lapor FMT.

Asyraf yang juga sekretariat kerajaan perpaduan dilantik sebagai pengerusi Mara berkuat kuasa Jumaat lalu.

Sabtu lalu, bekas timbalan menteri agama itu memuat naik resume 14 halaman dengan keterangan, “Siapa yang nak tawarkan kerja bolehlah. Hari ini secara rasmi selesailah tempoh hampir lima tahun mewakafkan diri kepada Pemuda Umno”.

Khairy mencelah dengan berkata, beliau tiada masalah dengan pelantikan politik kerana dirinya pernah diberikan jawatan dalam agensi kerajaan ketika di bawah pentadbiran Najib Razak.

Bagaimanapun, katanya, ia menjadi perdebatan apabila pendirian Pakatan Harapan (PH) dari awal yang menolak sebarang pelantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi kerajaan atau badan berkanun, akhirnya membenarkan perkara itu berlaku.

“Saya tak boleh cakap saya tak setuju sebab saya pernah jadi lantikan politik. Selagi lantikan politik itu layak pegang jawatan tersebut dan beliau dapat melaksanakan tugas dengan baik, saya tidak ada masalah.

“Masalah dia apabila kita ada pendirian dulu (PH) yang kata ‘no’, tetapi tiba-tiba buat (lantikan politik),” katanya merujuk pelantikan bekas Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad daripada PKR sebagai pengerusi Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) berkuat kuasa 1 Mac lalu.

Khairy dilantik sebagai pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) pada April 2012.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here