‘Tiada pergeseran, hubungan Bersatu-Pas makin erat’ – Faiz Na’aman

0
129

SEORANG pemimpin Bersatu tampil menafikan hubungan di antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) dibayangi desas-desus bermasalah, kata Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Muhammad Faiz Na’aman.

Beliau berkata, ketika ini hubungan Bersatu dengan Pas tetap baik, bukannya seperti didakwa pihak luar malah hubungan kedua-dua parti semakin erat.

“Spekulasi mengenai status hubungan Bersatu dan Pas itu telah dijawab oleh pemimpin Pas sendiri semalam.

“Jadi tidak timbul soal pergeseran di antara kami kerana ukhwah antara Bersatu (dan Pas) makin erat,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Status hubungan kedua-dua parti yang menjadi tunjang kepada PN menarik perhatian apabila tiada seorang pun pemimpin kanan Pas muncul semasa Bersatu mengadakan perhimpunan agung tahunan pada hujung minggu lalu.

Menjadi kebiasaan sejak sekian lama untuk pemimpin tertinggi parti menghadiri atau menghantar wakil di perhimpunan agung tahunan parti rakan masing-masing.

Difahamkan hanya Presiden Gerakan Dominic Lau hadir semasa majlis perasmian dan ucapan dasar presiden berlangsung di Kuala Lumpur pada 12 Mac lalu.

Semalam Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menolak khabar angin yang tersebar dalam kalangan orang politik yang mengesyaki parti itu merancang untuk keluar dari PN

Bahkan bekas menteri itu menafikan beliau pernah mendengar perkara sedemikian.

“Tak ada, tidak pernah timbul pun,” katanya.

Dasar perjuangan sama

Mengulas lanjut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menjelaskan ketiadaan wakil Pas di perhimpunan Bersatu disebabkan mereka terikat dengan tugasan lain seperti mesyuarat kawasan masing-masing.

“Kami pun dah maklum ada jemputan tapi kebetulan Pas kawasan sekarang tengah mesyuarat agung.

“Kebanyakan pimpinan (Pas) dah maklumkan kepada pimpinan tertinggi Bersatu bahawa kebetulan (mesyuarat) hari sama.

“Saya sendiri semalam (ke) lima kawasan,” jelas Tuan Ibrahim.

Faiz berkata ketiadaan pemimpin kanan Pas di perhimpunan agung Bersatu baru-baru ini bukan isu kerana mereka memang memahami kekangan yang ada.

“Kami di pihak Bersatu pun telah sedia maklum akan hal tersebut lebih awal,” katanya.

Membuktikan hubungan kedua-dua parti masih kukuh, Faiz berkata, Pas sedia membuka ruang kepada Bersatu mengadakan mesyuarat di Taman Melewar yang juga bekas ibu pejabat parti terbabit.

Kata Faiz Bersatu sentiasa menghargai serta memahami parti-parti rakan dalam komponen PN.

“Begitulah juga nilai-nilai kesetiaan yang dipegang oleh mereka kerana perjuangan kita dalam PN adalah sama iaitu untuk rakyat Malaysia,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here