KDN rampas permainan seks bernilai RM1.1 juta

0
147

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) merampas sebanyak 22,929 alat mainan seks bernilai RM1.1 juta dalam serbuan di sebuah gudang perkakasan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada15 Februari lalu.

Dalam serbuan oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PKK) KDN menerusi Ops Maya kira-kira pukul 12 tengah hari itu, seorang wanita berusia 29 tahun turut ditahan.

Setiausaha Bahagian PKK KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, gudang terbabit dijadikan tempat penyimpanan alat mainan seks yang mana suspek aktif menjualnya secara online sejak tahun lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, alatan permainan seks itu didapati dibawa masuk dari luar negara dan dijual dengan harga RM70 sehingga RM450 seunit.

“Penjual pula didapati boleh mengaut keuntungan sehingga dua kali ganda iaitu RM3.3 juta susulan permintaan tinggi daripada orang ramai,” katanya dalam sidang akhbar di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

Menurut Nik Yusaimi, suspek yang juga pemilik gudang telah dituduh di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada 2 Mac lalu, dan dihukum denda sebanyak RM5,000 selepas mengaku bersalah.

Katanya, suspek disiasat mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana memudaratkan kemoralan dan Seksyen 292 (a) Kanun Keseksaan kerana mengedar atau menjual barang-barang lucah.

“Operasi ini juga bertujuan membanteras penjualan dan pembelian mainan seks kerana dilarang serta berlawanan daripada segi moral dan budaya di negara ini.

“Gejala tidak sihat ini dikhuatiri memudaratkan kepentingan awam dan diharapkan mana-mana individu tidak terlibat dengan semua aktiviti yang memudaratkan moral,” katanya.

Dalam pada itu, tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penjualan dan pengedaran alat mainan seks diminta menghubungi pihak KDN di talian 03-8000 8000. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here