‘Persepsi masyarakat lihat PM campur tangan’ – Tuan Ibrahim

0
200

DAKWAAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat campur tangan terhadap pertuduhan mahkamah melibatkan tokoh-tokoh politik ternama hanyalah persepsi masyarakat.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berpandangan, persepsi berkenaan akan berubah sekiranya kerajaan terutamanya Ahli Parlimen Tambun itu dilihat adil dalam pendakwaan yang bukan sahaja melibatkan pemimpin pembangkang malah kes berkait pemimpin kerajaan.

“Saya lihat apa yang penting bukan sahaja kenyataan, tetapi persepsi masyarakat apabila pendakwaan kepada pembangkang sahaja (dibuat masa ini) tetapi dalam masa sama, isu melibatkan kerajaan ditimbulkan dalam Parlimen.

“Isu pembinaan kapal LCS (kapal tempur pesisir) sebagai contoh dan kes-kes yang berlaku di mahkamah, orang tanya bila nak mula. Bahkah kes ini jauh lebih awal daripada yang lain-lain.

“Saya bukan mahu pertikai tetapi persepsi itu tidak boleh elak melainkan kerajaan dilihat berlaku adil kepada semua,” katanya ketika sidang media di bangunan Parlimen pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Anwar dalam Dewan Rakyat pada Selasa yang menggesa mana-mana pihak tampil memberikan bukti sekiranya benar beliau campur tangan terhadap pertuduhan mahkamah terhadap tokoh-tokoh politik.

Dalam pada itu Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, rakyat dilihat akan menilai Perdana Menteri menerusi sentimen yang berbeza sekiranya persepsi berkenaan dapat diubah.

Sementara itu, mengenai misi kemanusiaan Perikatan Nasional (PN) di Turkiye baru-baru ini, beliau yang baru pulang dari negara itu memaklumkan, mangsa gempa bumi masih memerlukan bantuan terutamanya tempat penginapan.

Beliau berkata, rumah sementara daripada kontena merupakan alternatif berikutan kediaman mangsa yang musnah ketika bencana itu melanda bulan lalu.

“Sebuah rumah kontena dianggarkan berjumlah RM30,000 dan kita mensasarkan kutipan sejumlah RM3 juta. Dana dan bantuan itu akan dihantar selepas Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya lapor Sinar Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here