Guna khidmat Grab pergi samun rumah, 5 warga Indonesia ditahan

0
222

TAKTIK sekumpulan penyamun warga Indonesia yang disyaki menggunakan perkhidmatan aplikasi Grab bagi menghantar mereka ke rumah sasaran sebelum menyamun mangsa sejak November tahun lalu terbongkar selepas ditahan oleh pihak polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, enam orang suspek termasuk seorang wanita itu ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah flat sekitar kawasan Sungai Besi enam jam selepas menyamun sebuah rumah di Sungai Long, Kajang pada 6 Mac lalu.

“Polis menerima maklumat berhubung kejadian samun di Sungai Long, Kajang apabila tiga orang lelaki memecah masuk rumah ketika pengadu dan ahli keluarga sedang tidur seterusnya mengikat tangan dan kaki mangsa.

“Berdasarkan siasatan mereka menyasarkan rumah yang senang untuk dipecah masuk seperti rumah yang tidak berpagar, kurang keselamatan atau tingkap yang senang diumpil.

Sebahagian daripada senjata yang dirampas selepas polis berjaya menahan lima suspek warganegara Indonesia yang melakukan samun bersenjata ketika Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

“Kesemua suspek yang tinggal di Sungai Besi itu akan menggunakan perkhidmatan aplikasi Grab atau meminta rakan untuk menghantar mereka ke rumah sasaran dan menggunakan kenderaan lain untuk pulang ke tempat tinggal mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Katanya, berdasarkan siasatan kesemua suspek berusia lingkungan 29 hingga 49 tahun itu turut mengaku terlibat dalam satu kes samun rumah di Kajang, empat di Sepang, dan satu lagi di Seremban.

Menurut beliau lagi, akibat daripada kejadian di Kajang itu, mangsa telah mengalami kerugian sebanyak RM2,000 termasuk wang tunai mata wang asing, dua buah telefon bimbit dan beberapa jenis barang kemas.

Katanya, suspek tidak mencederakan mangsa namun mengikat mangsa menggunakan kabel pengecas, tali tangsi atau mana-mana tali boleh didapati sepanjang tempoh menyamun.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan mengadakan sidang media kejayaan polis menumpaskan kumpulan samun bersenjata warga Indonesia di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

Menurut Hussien lagi, pihaknya turut merampas semula sebahagian harta milik mangsa, pisau panjang, kerambit, pakaian, sarung tangan, dan sarung kepala yang digunakan ketika merompak rumah mangsa.

Suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Siasatan turut dijalankan di bawah Akta Imigresen kerana suspek dipercayai tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan disyaki berada di negara secara tidak sah dengan memiliki permit yang telah tamat tempoh.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan. GAMBAR: Warta Rakyat

“Hasil daripada tangkapan ini, polis berjaya selesaikan enam kes samun dalam rumah di negeri Selangor termasuk satu lagi kes di Negeri Sembilan yang telah melibatkan kerugian RM50,000,” katanya lagi, lapor Utusan TV.

Tambah beliau, kesemua suspek mula melakukan aktiviti itu sejak mereka memasuki negara ini pada November tahun lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here