Penyerang Kamal Adli direman 2 minggu

0
349

MAHKAMAH Singapura menetapkan lelaki yang didakwa menyerang artis Malaysia Kamal Adli akan direman dua minggu bagi menjalani ujian psikiatri.

“Tertuduh akan direman di Institut Kesihatan Mental selama dua minggu bagi menjalani penilaian psikiatri,” kata Hakim Daerah Terence Tay yang bersetuju dengan permohonan pendakwa raya menahan tertuduh bagi melakukan pemeriksaan kesihatan.

Tay berkata, bahawa sebutan semula kes itu akan dibuat pada 28 Mac.

Lelaki berusia 33 tahun itu didakwa di Mahkamah Negeri di sini pada Selasa (14 Mac) kerana “terbabit dalam kes menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.”

“Jika sabit kesalahan, kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata berbahaya di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, rotan, atau mana-mana kombinasi hukuman itu,” menurut SPF dalam kenyataan.

Pada Ahad (12 Mac), kira-kira jam 9.19 malam, Pasukan Polis Singapura sudah dimaklumkan mengenai serangan di 1 Expo Drive di mana suspek didakwa menyerang seorang lelaki berusia 36 tahun dengan cota.

Polis sudah merampas cota berkenaan untuk dijadikan bahan bukti dan siasatan sedang dijalankan.

Kamal yang cedera terpaksa menjalani pembedahan di sebuah hospital di sini.

Dia dan isterinya, Uqasha Senrose, berada di Singapura untuk acara Jualan Mega Hari Raya 2023 selama tiga hari bermula Jumaat.

Menurut Uqasha, kejadian itu berlaku pada penghujung acara tetapi tidak memberi butiran lanjut mengenai punca suaminya diserang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here