Muhyiddin persoal proses dakwaan, anggap pemangsaan politik terancang

0
131

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan bagaimana Jabatan Peguam Negara boleh membuat keputusan lebih awal untuk mendakwanya sedangkan beliau belum memberikan sebarang kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).

Jelas bekas perdana menteri itu lagi, beliau mengetahui keputusan untuk mendakwa dirinya sudah diputuskan oleh kerajaan walaupun siasatan belum dilengkapkan.

“Saya dapati keputusan untuk mendakwa saya sebenarnya telah dibuat
lebih awal oleh pihak yang paling berkuasa dalam pentadbiran negara sebelum sisatan dilengkapkan.

“Mereka hanya menggunakan agensi penguatkuasa sebagai alat untuk mencapai tujuan politik mereka.

“Pendakwaan ke atas saya adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang. It is an organized political persecution,” katanya kepada media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Menurut Muhyiddin sepanjang 50 tahun berkecimpung dalam politik tiada sebarang kesalahan yang dilakukan.

“Saya sentiasa akur kepada peraturan dan undang-undang. Saya tidak melanggar peraturan mahupun undang-undang dengan sewenang-wenangnya.

“Pegawai kerajaan yang pernah berkhidmat dengan saya pasti tahu sikap dan pendirian saya mengenai pematuhan kepada peraturan dan undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menyerahkan kepada pucuk pimpinan mengenai kedudukaya sebagai presiden Bersatu sama ada kekal atau sebaliknya.

Menurutnya, jawatan presiden yang dimiliki sekarang adalah hasil pilihan ahli parti.

“Saya dilantik menjadi presiden Bersatu oleh ahli parti. Sekarang saya serah kepada Majlis Tertinggi untuk putuskan kedudukan saya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here