‘Tuduhan berniat jahat untuk cemar imej saya’

0
190

TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tuduhan yang dikenakan ke atas beliau sebagai fitnah jahat yang direka untuk mencemar imej beliau, keluarga dan parti Bersatu.

Bercakap kepada wartawan selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, Presiden Bersatu berkata, beliau akan berdepan ujian tersebut dengan penuh sabar dan menyerahkan kepada pasukan peguamnya untuk mendapatkan keadilan.

Berikut kenyataan penuh beliau;

Pagi tadi saya dihadapkan ke Mahkamah untuk menghadapi enam pertuduhan. Pada hari Isnin ini saya akan dihadapkan ke Mahkamah Shah Alam untuk satu lagi pertuduhan.

Pertuduhan ke atas saya dibuat di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 iaitu berkenaan tohmahan salah guna kuasa. Saya tidak didakwa atas kesalahan menerima rasuah bagi diri saya.

Ini kerana setelah siasatan dibuat, didapati tidak ada satu sen pun wang rakyat masuk ke poket saya sendiri sepanjang saya menjadi Perdana Menteri. Ini berbeza sekali dengan fitnah yang dilemparkan ke atas saya kononnya saya menyeleweng RM600 bilion wang pakej rangsangan ekonomi semasa pandemik Covid-19.

Kini terbukti tuduhan itu adalah satu fitnah jahat yang direka semata-mata untuk mencemarkan imej saya, keluarga saya dan parti saya.

Oleh kerana saya tidak menerima rasuah, mereka mencipta kesalahan lain untuk mengesahkan dakwaan Presiden UMNO bahawa akan wujud Kluster Mahkamah baharu dalam kalangan pemimpin Perikatan Nasional.

Dia ingin menyamakan saya dengan dirinya. Tentu sekali berbeza. Dia dituduh menggunakan wang yayasan untuk kegunaan diri sendiri.
Sedangkan saya, tidak ada satu sen pun wang yang masuk ke poket saya sendiri.

Saya dituduh menyalahgunakan kuasa Perdana Menteri untuk melantik kontraktor-kontraktor Bumiputera bagi Projek JANAWIBAWA. Saya nafikan tuduhan ini. Saya tidak mempunyai sebarang kuasa untuk meluluskan projek-projek ini. Kesemua projek ini telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan mengikut peraturan dan tatacara perolehan yang sah.

Saya juga dituduh menyalahgunakan kuasa untuk meluluskan Rayuan Pembatalan Pengecualian Cukai oleh Yayasan Al-Bukhary yang dinaungi oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary. Saya nafikan dakwaan ini.

Kelulusan rayuan pengecualian cukai ini dibuat oleh Kementerian Kewangan dan saya tidak mempunyai sebarang kuasa untuk meluluskannya. Inilah dua dakwaaan yang mengakibatkan 7 pertuduhan yang dibuat ke atas saya.

Semalam, sebelum keterangan saya diambil berhubung dakwaan saya menyalahgunakan kuasa meluluskan rayuan pengecualian cukai oleh Yayasan Al-Bukhary saya diberitahu bahawa Jabatan Peguam Negara telah membuat keputusan untuk mendakwa saya. Bagaimana keputusan untuk mendakwa telah dibuat sedangkan keterangan saya mengenainya belum diambil?

Saya dapati keputusan untuk mendakwa saya sebenarnya telah dibuat lebih awal oleh pihak yang paling berkuasa dalam pentadbiran negara sebelum sisatan dilengkapkan. Mereka hanya menggunakan agensi penguatkuasa sebagai alat untuk mencapai tujuan politik mereka.

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan sidang media di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

Jelas, pendakwaan ke atas saya adalah satu bentuk pemangsaan politik yang terancang. It is an organized political persecution. Saya telah berkecimpung dalam politik selama 50 tahun. Sepanjang tempoh itu, tidak ada apa-apa kesalahan yang saya lakukan.

Malah saya sentiasa akur kepada peraturan dan undang-undang. Saya tidak melanggar peraturan dan undang-undang dengan sewenangwenangnya. Pegawai-pegawai kerajaan yang pernah berkhidmat dengan saya pasti tahu sikap dan pendirian saya mengenai pematuhan kepada peraturan dan undang-undang.

Saya terima pertuduhan ke atas saya ini dengan sabar. Saya tahu dalam dunia politik, ramai musuh yang ingin menghancurkan saya, keluarga saya dan parti saya. Lebih-lebih lagi apabila saya berhadapan dengan musuh politik yang rakus.

Bagi saya tidak mengapa. Ini jalan perjuangan yang saya pilih. Saya tidak memilih untuk bersekongkol atau tunduk dengan desakan mereka yang batil. Saya pilih untuk tegak berdiri di atas prinsip yang saya pegang. This is the price that I have to pay.

Saya yakin dengan kuasa Allah. Saya berdoa semoga Allah s.w.t. mengurniakan rahmah dan inayah-Nya ke atas saya dan melindungi saya dan sahabat-sahabat seperjuangan saya daripada fitnah jahat dan musibah buruk.

Saya dan pasukan peguam saya akan berusaha dan berikhtiar untuk mendapatkan keadilan di mahkamah. Nasib saya akan saya serahkan kepada Allah dan hakim yang adil.

Kepada ahli-ahli BERSATU, penyokong Perikatan Nasional dan rakyat seluruhnya, saya amat menghargai sokongan anda semua. Bertenang dan berilah peluang kepada saya untuk membela diri melalui proses undang-undang.

Saya tidak akan mengajak saudara dan saudari turun ke jalanan untuk mempertahankan diri saya. Ini zaman kegawatan ekonomi akibat Covid19. Rakyat sedang mengalami kesusahan hidup. Saya tidak mahu membebankan rakyat untuk membela diri saya. Kita semua mesti patuh kepada undang-undang dan pelihara keamanan negara.

Apa yang saya harapkan hanyalah titipan doa daripada saudara dan saudari sekalian supaya saya diberikan keadilan dan kita semua dilindungi oleh Allah s.w.t.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here