Tumbuk, samun guru wanita, 3 lelaki ditahan

0
238

POLIS menahan tiga lelaki Ahad lalu kerana disyaki menyamun dan mencederakan seorang guru wanita di sebuah rumah di Taman Pelangi, Sentul, pada 25 Februari.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 45 tahun ditumbuk di muka, dipukul di bahagian leher dan diikat dengan wayar oleh semua suspek yang menyamun rumahnya.

Ketua Polis Sentul, Beh Eng Lai, berkata suspek turut melarikan wang tunai RM6,000, satu telefon bimbit, seutas jam tangan dan kad bank milik mangsa.

“Susulan itu, polis menahan tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 26 hingga 35 tahun di Damansara dan Petaling Jaya, Ahad lalu.

“Siasatan mendapati modus operandi mereka adalah melakukan samun secara berkumpulan dengan menyasarkan rumah yang berpenghuni,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Beh, semua lelaki itu memiliki pelbagai rekod kesalahan jenayah lampau dan mereka sedang direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dengan sengaja menyebabkan cedera.

Beliau berkata, susulan penahanan mereka, polis berjaya menyelesaikan empat kes di ibu negara dan satu kes di Selangor. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here