Polis tahan lelaki potong, lerai kenderaan terbiar di tempat parkir

0
317

POLIS berjaya menahan seorang lelaki berusia 33 tahun selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan memotong dan meleraikan komponen kenderaan lama yang terbiar di tempat parkir Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditangkap di tempat letak kenderaan berhampiran Taman Medan pukul 12.30 tengah hari.

Katanya, ketika ditahan suspek sedang sibuk mengangkat beberapa komponen kenderaan ke dalam sebuah lori.

“Polis turut merampas sebuah lori serta beberapa peralatan untuk memotong komponen kenderaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap nombor enjin serta nombor chasis kenderaan yang telah dileraikan tersebut mendapati kedua-dua komponen itu telah diganggu dan tidak sempurna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

Menurut beliau, modus operandi suspek adalah dengan memotong serta meleraikan kenderaan model lama yang ditinggalkan terlalu lama di kawasan Taman Medan sebelum dileraikan dan menjual semula komponen kenderaan terbabit.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid (kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian daripada komponen kenderaan lama yang dirampas selepas berjaya menahan seorang suspek yang terlibat dalam kegiatan memotong dan meleraikan kenderaan lama ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPD) Petaling Jaya, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

“Suspek juga gagal memberikan keterangan berkaitan kenderaan yang telah dileraikan serta gagal menyerahkan sebarang dokumen berkaitan kenderaan tersebut,”

Tanbahnya, semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod berkaitan kes dadah.

Dalam kes berasingan, polis juga berjaya memberkas seorang lelaki yang diburu kerana mencuri kereta sejak tujuh tahun lalu.

Suspek ditahan dalam satu serbuan di sebuah kediaman di Jalan Wawasan, Puchong, pada 1 Mac lalu.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan di dalam rumah suspek, polis berjaya merampas empat kenderaan lama iaitu dua Proton Wira, dan masing-masing sebuah Proton Perdana dan Proton Saga yang ditemui disembunyikan di belakang rumah suspek itu.

“Pemeriksaan lanjut terhadap salah sebuah kenderaan jenis Proton Wira oleh pasukan polis mendapati kenderaan itu telah dilaporkan hilang di Serdang.

“Pemeriksaan ke atas tiga lagi kenderaan mendapati kesemua nombor casis serta enjin tidak sempurna dan sudah diganggu,” katanya.

Menerusi soal siasat, suspek  mengaku mencuri serta menyembunyikan sebuah kenderaan lama jenis Perodua Kancil yang dicuri pada 2017 di kawasan Sungai Way.

“Semakan polis juga mendapati suspek memiliki sebanyak 26 rekod lampau kesalahan jenayah berkaitan kes jenayah curi kenderaan serta dadah,” katanya, lapor Utusan TV.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here