Pemandu,penumpang positif dadah sebabkan kemalangan di Jalan Ipoh ditahan

0
383

POLIS menahan seorang pemandu dan penumpang sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Batu 5, Jalan Ipoh di sini Jumaat lepas setelah didapati positif dadah.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata kedua-dua lelaki berkenaan ditahan di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur selepas menjalani ujian saringan air kencing.

Beliau berkata pemandu kenderaan jenis Nissan Sentra berusia 25 tahun itu dipercayai terlelap dan melanggar bahagian belakang lori jenis Hino yang berada di hadapannya dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari.   

“Akibat perlanggaran tersebut, lori berkenaan bergerak ke hadapan dan melanggar belakang sebuah motosikal di lorong sama menyebabkan penunggang motosikal terjatuh. Bagaimanapun, tiada individu cedera dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beh berkata anggota yang tiba di tempat kejadian telah melihat perlakuan dua suspek yang mencurigakan seterusnya membawa kedua-duanya ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk menjalani ujian saringan air kencing.

“Hasil pemeriksaan tersebut mendapati kedua-dua lelaki itu positif dadah jenis Methamphetamine, Ketamin, Eramin 5, Ampetamin dan ganja,” katanya.

 Kedua-dua suspek disiasat  mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here