AKTIVIS hak asasi manusia mendesak kerajaan segera membebaskan 1,179 kanak-kanak pendatang tidak berdokumen yang berada dalam depot tahanan di seluruh negara.
Mahi Ramakrishnan dari Beyond Borders berkata, keadaan sukar di pusat tahanan sedia diketahui umum, dan dibimbangi mengundang kesan buruk terhadap kesejahteraan serta kesihatan mental kanak-kanak terbabit.
Katanya, Konvensyen Hak Kanak-Kanak menyatakan golongan itu hanya boleh ditahan sebagai “langkah terakhir dan untuk tempoh sesingkat mungkin”, dan ia tidak terpakai buat kanak-kanak yang ditahan hanya kerana ibu bapa mereka mempunyai status pendatang “luar kebiasaan”.
“Kerajaan juga mempunyai komitmen dengan Deklarasi Asean berhubung Hak Kanak-Kanak dalam konteks migrasi dan tidak boleh merampas kebebasan sivil kanak-kanak,” katanya, lapor FMT.
Mahi berkata, Malaysia sudah berikrar melaksanakan dasar dan undang-undang mempromosi serta melindungi hak komuniti paling rentan ketika memohon menjadi anggota Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Saya percaya ini termasuk pelarian, pencari suaka dan individu tidak bernegara, terutama wanita dan kanak-kanak, yang berterusan ditahan kerajaan di pusat tahanan.
“Ketika ini, kita masih ketinggalan di belakang Thailand dan Indonesia, yang sudah membebaskan kanak-kanak ke dalam penjagaan masyarakat sejak 2018,” katanya.
Pada Khamis, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan bahawa 1,179 orang kanak-kanak adalah antara 15,845 pendatang tidak berdokumen yang ditahan di depot imigresen di seluruh negara setakat 29 Jan. Daripada jumlah itu, 2,683 orang wanita.
Pesuruhjaya Suhakam Noor Aziah Awal berkata, jumlah tahanan kanak-kanak di depot imigresen tidak mengejutkan, namun berpendirian mereka tidak sepatutnya ditahan di sana.
“Sekiranya kanak-kanak itu bersama ibu bapa mereka, hantar keluarga itu pulang ke negara asal, melainkan nyawa mereka terancam jika dihantar pulang.
“Sebagai alternatif kepada penahanan, kanak-kanak yang tidak ditemani perlu dihantar pulang setelah ibu bapa mereka dikenal pasti,” katanya.
Pengarah Eksekutif North South Initiative Adrian Pereira menggesa Putrajaya mengenal pasti bagaimana pendatang tidak berdokumen lolos ke dalam negara, selain percaya ramai antara mereka menjadi mangsa pemerdagangan manusia.
Pereira berkata, Malaysia sepatutnya membenarkan pendatang-pendatang ini diberikan hak sebagai mana dinikmati ekspatriat melibatkan anak mereka, dengan merujuk ekspatriat dibenarkan membawa anak tinggal bersama di negara ini.
“Anak-anak ini tidak akan menjadi beban kepada negara sekiranya ibu bapa mereka diberi hak bekerja tanpa eksploitasi,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.