Kajian prestasi menteri: Adakah DAP akan tuntut lebih ramai menteri?

0
181

Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

HARI ini penulis terbaca satu laporan hasil kaji selidik yang dijalankan oleh sebuah firma penyelidikan dan lima media arus perdana mengenai tinjauan tahap kepuasan hati rakyat melibatkan menteri kerajaan perpaduan sempena 100 hari pentadbiran pasca Pilihan Umum Ke-15 (PRU15).

Merujuk kepada kaji selidik yang dijalankan selama 10 hari bermula 6 Februari lalu itu terhadap lebih 35,000 responden menunjukkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berada di kedudukan teratas berbanding menteri-menteri lain dengan sokongan 49 peratus.

Anwar Ibrahim yang memegang portfolio Menteri Kewangan berada di tangga kedua dengan 40 peratus sokongan diikuti Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (39%); Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (34%) serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina Othman Said (33%).

Berada di kedudukan kelima ialah Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil (30%) seterusnya Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohammad Sabu (28%); Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub (27%); Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek masing-masing mendapat skor sebanyak 26 peratus.

Berdasarkan hasil kajian ini, penulis sependapat dengan penemuan berkenaan melihatkan kepada prestasi yang ditunjukkan oleh Anthony Loke apabila telah melakukan beberapa tindakan drastik sejak memegang jawatan menteri Kabinet.

Ahli Parlimen Seremban yang mendapat lebih 60,000 undian pada PRU15 lalu dan memegang jawatan Setiausaha Agung DAP itu dilihat lebih ke depan berbanding menteri kabinet lain dalam menyelesaikan isu yang dibangkitkan rakyat.

Walapun DAP memperolehi jawatan dalam kabinet yang sedikit iaitu hanya empat menteri sedangkan telah memenangi 40 kerusi Parlimen, tiga daripada mereka mengungguli carta pilihan rakyat apabila Anthony Loke, Hannah Yeoh dan Nga Kor Ming berada di tangga teratas berbanding menteri-menteri lain.

Berbeza dengan UMNO yang sembilan pemimpin mereka dilantik menjadi menteri dan timbalan perdana menteri walaupun hanya memenangi 26 kerusi Parlimen, prestasi pemimpin mereka dalam kerajaan berdasarkan undian rakyat, hanya Azalina menjadi pilihan.

PKR pula seramai tiga pemimpin mereka tergolong dalam 10 menteri yang menepati tahap kepuasan hati rakyat iaitu Anwar, Fahmi dan Fadhlina.

Rafizi yang sebelum ini semasa menjadi pembangkang dilihat gah dengan segala formula tidak langsung tersenarai dalam kelompok 10 menteri itu.

Penulis yakin berdasarkan prestasi semasa beliau, peratusan undian rakyat terhadap Ahli Parlimen Pandan itu mungkin rendah dan jauh menepati jangkaan bahawa beliau mampu menjadi menteri yang cekap dalam menguruskan ekonomi negara.

Beliau dilihat masih hilang arah dengan portfolio yang dipegang di samping beberapa saranan dalam menangani isu kos sara hidup yang mendapat kritikan ramai.

Dalam pada itu, sudah pasti hasil dapatan ini sedikit sebanyak akan menambahkan lagi rasa tidak puas hati pemimpin DAP terhadap soal pengagihan jawatan menteri dalam kabinet kerana sebelum ini ia pernah ditimbulkan DAP Pulau Pinang.

Pengerusinya, Chow Kon Yeow pernah berkata bahawa pengagihan jawatan bagi DAP adalah tidak seimbang kerana parti yang kurang memenangi kerusi pada PRU15 mendapat tempat yang banyak dalam kerajaan Anwar.

Ditambah pula dengan hasil kajian ini yang menunjukkan prestasi semasa menteri DAP, adakah parti itu akan menuntut rombakan Kabinet dan mendesak supaya lebih ramai menteri daripada parti itu dipilih menjadi menteri?

Dan jika boleh dipertimbangkan, pemimpin UMNO yang berada dalam Kabinet perlu memberikan laluan kepada DAP kerana mereka bukan sahaja memenangi jumlah kerusi yang kecil tetapi prestasi menteri UMNO ketika ini adalah kurang meyakinkan.

Adakah ia relevan untuk dipertimbangkan? Sama-sama kita tunggu dan lihat selepas ini.

Penulis ada penganalisis politik dan ekonomi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here