Ahmad Maslan tak bertanding jawatan Naib Presiden UMNO

0
144

SETIAUSAHA Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengumumkan tidak akan bertanding jawatan Naib Presiden parti pada pemilihan kali ini.

Sebaliknya, Timbalan Menteri Kewangan I itu memilih bertanding jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Ketua UMNO Bahagian Pontian.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, keputusan tersebut dibuat kerana tidak mahu memecahkan undi memandangkan Johor sudah mempunyai tiga calon bagi jawatan Naib Presiden UMNO.

“Kalau dari segi kelayakan dan pengalaman, saya memang sudah lama dalam UMNO dan pernah memegang jawatan Ketua Penerangan UMNO serta sudah meninjau kesemua 191 bahagian UMNO di seluruh negara.

“Namun, saya tidak perlu menjadi seorang lagi calon Naib Presiden dari Johor. Apabila sudah terlalu ramai calon ia akan memecahkan undi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Kebajikan Pemandu Kereta Sewa Pontian di Dewan UMNO pada Sabtu malam.

Beliau memberitahu negeri-negeri lain setakat ini hanya menghantar seorang sahaja calon bagi merebut jawatan Naib Presiden.

“Perwakilan akan lihat siapa wakil daripada negeri yang hendak mereka pilih. Pihak di luar sana juga akan fikir mengapa ramai sangat, sedangkan negeri-negeri lain hanya hantar seorang sahaja calon.

“Setakat ini, lapan calon sudah menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden UMNO di mana tiga calon dari Johor. Selebihnya dari Kedah iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid ; Pahang (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail); Perak (Datuk Seri Johari Abdul Ghani); Pulau Pinang (Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican) dan Perak (Datuk Seri Zambry Abd Kadir),” ujarnya, lapor Sinar Harian.

Tiga calon Naib Presiden UMNO dari Johor ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan bekas Menteri Besar Johor yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohamad.

Penentuan jawatan itu akan dibuat ketika mesyuarat perwakilan bahagian di seluruh negara yang akan berlangsung pada 18 Mac depan.

Sementara itu, bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan akan dicabar Datuk Seri Hasni Mohammad.

Ketika ini, Ahmad merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pontian, manakala Naib Ketua UMNO pula disandang oleh Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Mohd Sumali Reduan.

Hasni telah menyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian Pontian bermula pada tahun 2001 selepas persempadanan semula kawasan Pilihan Raya antara Parlimen Pontian dan Parlimen Tanjung Piai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here