BERSIH kritik tindakan kerajaan halang peruntukan pembangkang, tidak selari perjuangan Malaysia Madani

0
163

GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) kesal berikutan Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) kepada Ahli Parlimen pembangkang tidak dinyatakan dalam Belanjawan 2023, yang diumumkan Jumaat lalu.

Menurut Jawatankuasa Pemandu BERSIH, perkembangan itu sekali gus menunjukkan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak selari dengan perjuangan reformasinya sebelum ini dan konsep Malaysia Madani.

Katanya, janji manifesto Pakatan Harapan (PH) pada 2022 untuk memberikan peruntukan CDF yang saksama kepada semua Ahli Parlimen perlu dihormati dalam semangat Malaysia Madani.

Atas dasar itu katanya, kerajaan dan pembangkang perlu duduk bersama dan berunding untuk membentuk satu undang-undang memastikan peruntukan saksama dapat diberikan kepada semua Ahli Parlimen.

“Menahan peruntukan CDF ini adalah tidak menghormati pilihan dan hak pengundi untuk mengundi siapa yang mereka ingin bagi mewakili mereka.

“Sedangkan CDF diperlukan Ahli Parlimen untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan mereka dengan lebih baik dengan menampung sebarang keperluan pembangunan yang tidak termasuk dalam program kerajaan Persekutuan atau negeri.

“CDF juga melingkupi sedikit peruntukan untuk kos pengoperasian pusat khidmat rakyat. Kami berharap kerajaan Anwar lebih berhikmah untuk tidak meneruskan amalan yang keji, tidak demokratik dan pendek akal ini, ” katanya melalui kenyataan, di sini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, kecewa dengan Belanjawan 2023 yang dibentangkan semula berikutan tiada peruntukan diberikan kepada wakil rakyat pembangkang.

Pada masa sama, Jawatankuasa Pemandu BERSIH berkata, CDF sudah lama digunakan kerajaan sebagai alat politik untuk menghukum pembangkang dan ‘menafikan’ mereka daripada peruntukan yang diperlukan dengan tujuan supaya rakyat menolak pemimpin pembangkang.

Menurutnya, peruntukan CDF di kawasan pembangkang sebaliknya disalurkan kepada penyelaras yang tidak dipilih oleh rakyat daripada parti kerajaan bagi meraih sokongan.

“Taktik sebegini digunakan sebelum ini untuk mempengaruhi wakil rakyat pembangkang melompat dan penjajaran semula parti sebagaimana yang kita lihat pada pasca kejatuhan Barisan Nasional (BN) selepas 9 Mei 2018, sehinggalah tandatangan memorandum persefahaman (MOU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).

“Taktik ini tidak berkesan kepada pembangkang setiap masa kerana PH tetap cemerlang sebagai pembangkang dulu malah memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tanpa sebarang peruntukan CDF.

“Taktik lapuk ini malah berkemungkinan memakan parti dalam Kerajaan Perpaduan dalam pilihan raya negeri yang akan datang,” katanya, lapor BH Online.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here