Janji mansuh AUKU dalam manifesto PH tak dapat dilaksanakan

0
250

AKTA Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) tidak akan dapat dimansuhkan walaupun ia merupakan salah satu janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, kata Datuk Seri Mohd Khaled Nordin.

Janji untuk memansuhkan undang-undang tersebut sebelum ini terdapat dalam manifesto PH tetapi ia tidak dilaksanakan selepas kerajaan campuran dibentuk dengan UMNO-Barisan Nasional (BN), perkara sama yang berlaku dengan janji memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menteri Pengajian Tinggi berkata dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, akta tersebut masih relevan terutama dalam soal pentadbiran universiti.

Jelasnya, proses pemansuhan undang-undang itu memerlukan kajian mendalam kerana ia melibatkan undang-undang lain seperti Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, Akta Pendidikan 1996 dan Akta Badan Berkanun (Tatatertib Dan Surcaj) 2000.

“Auku telah dipinda sebanyak tujuh kali sejak ia diwartakan pada 1971. Pindaan terakhir ialah pada 2019,” katanya dalam jawapan tersebut, lapor Agenda Daily.

Khaled berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang ingin tahu jika kerajaan akan menggantikan AUKU yang berusia 52 tahun dengan undang-undang yang lebih kontemporari.

PH telah berjanji untuk memansuhkan Auku sebagai sebahagian daripada janji pilihan rayanya. Matlamatnya adalah untuk memberikan lebih banyak autonomi kepada universiti dan institusi pengajian tinggi.

“Auku akan dimansuhkan dan pelajar, pensyarah dan alumni akan diiktiraf sebagai pihak berkepentingan yang sebenar,” petik buku Kita Boleh! Dokumen Pelan Tindakan PRU15 PH.

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada kerajaan sekarang – terdiri daripada PH, BN, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah – akan menerima sepenuhnya manifesto pilihan raya PH.

Dalam isu PTPTN, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendakwa Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal membuat kenyataan yang mengelirukan Dewan Rakyat berhubung isu pemansuhan pinjaman PTPTN terdapat dalam manifesto PH pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Untuk rekod, AUKU memberikan kuasa yang luas kepada menteri yang bertanggungjawab untuk memutuskan pelantikan utama bagi universiti seperti jawatan naib canselor.

Pengkritik mendakwa undang-undang ini membenarkan menteri melantik naib canselor tanpa mengambil kira merit dan sekali gus menjejaskan autonomi universiti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here