Anak Najib sah bertanding Ketua UMNO Langkawi

0
239

ANAK kepada bekas Perdana Menteri ke-7, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohd Nazifuddin sah akan bertanding bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Langkawi dalam pemilihan yang akan diadakan bulan depan.

Menurut beliau yang turut akan bertanding bagi jawatan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, keputusan itu dibuat bagi memastikan penyertaan golongan muda dalam membawa arus perubahan di pulau pelancongan itu terutama melibatkan hubungan di peringkat antarabangsa.

Tambahnya, keputusan berkenaan juga diambil bagi memastikan sokongan kepada UMNO dapat dikembalikan di salah satu kawasan Parlimen yang pernah menjadi kubu kuat parti itu sebelum ini.

“Selepas kekosongan (bagi jawatan Ketua Bahagian) Langkawi, disebabkan (pemergian) Datuk Nawawi Ahmad) yang meninggal (dunia), ramai (ahli UMNO di Langkawi) mencari saya, dan saya faham (ini adalah) untuk (kepentingan) Langkawi (dimana penduduk disana) memerlukan anak muda yang biasa dengan platform antarabangsa untuk mebawa Langkawi kearah yang lebih maju sebagai satu pulau pelancongan,

“Ini kerana banyak (juga) isu (yang berbangkit) selepas MCO belum diselesaikan oleh pemimpin sebelum ini, jadi kita hendak perubahan (itu) datang dari Langkawi jadi saya menawarkan diri sebagai Ketua Bahagian untuk (bawa) perubahan di Pulau Langkawi.” katanya, lapor Astro AWANI.

Nazifuddin berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Pengenalan Calon-Calon Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Peringkat Negeri Kedah di Pejabat UMNO Negeri Kedah, Bangunan Tunku di Alor Setar, pada Jumaat.

Dalam perkembangan sama, beliau menjangkakan tidak akan menerima laluan mudah bagi kedua-dua jawatan yang akan ditandingi meski pun ‘berstatus’ anak bekas Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Jelasnya, beliau dan pasukan perlu sentiasa bekerja kuat dan akan menerima sebarang kemungkinan termasuk kalah dalam pemilihan itu kelak dengan hati yang terbuka.

Pada 29 Januari lalu, Nazifuddin menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO dalam pemilihan parti akan datang.

Beliau yang merupakan ahli UMNO Bahagian Langkawi berkata, dirinya ingin membantu sayap itu bagi menarik golongan muda agar dapat bersama-sama memperkukuhkan perjuangan parti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here