Bot nelayan tempatan gajikan PATI ditahan

0
148

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan pukul 7.15 petang semalam selepas didapati menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai kru.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, penahanan itu dibuat ketika pemeriksaan terhadap sebuah bot nelayan tempatan kelas C yang sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dalam rondaan rutin OP PERTIWI dan OP TANJUNG.

Jelas beliau, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu ditahan pada kedudukan sekitar 23 batu nautika barat laut Pulau Kendi.

“Pemeriksaan awal mendapati, bot dikendalikan oleh seorang tekong dan empat kru kesemuanya warga Myanmar berumur  antara 19 hingga 44 tahun.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, tekong dan semua kru bot itu gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah serta surat kelulusan bertulis atau permit kerja dari Ketua Pengarah Perikanan, Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 
Sehubungan itu, tambah Abd. Razak, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu pemilik bot menggunakan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.

 
Jelasnya, bot serta kesemua kru ditahan termasuk 300 kilogram hasil laut sebelum dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, ujar beliau, Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan pendatang tanpa izin (PATI) untuk bekerja di atas bot mereka walaupun amaran telah diberikan dan beberapa tangkapan telah dilaksanakan.

“Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia,” katanya.

Ujar beliau, sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04 – 2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here