Soal PAC, bukan KKM, kata KP kesihatan berkait perolehan vaksin

0
207

SEBARANG isu kredibiliti mengenai siasatan perolehan vaksin Covid-19 harus ditujukan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), dan bukannya Kementerian Kesihatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Ini kerana PAC yang memutuskan dalam laporan setebal 521 muka surat bahawa perolehan vaksin dibuat secara teratur.

Perkara ini kita sudah jawab kepada PAC. Ada (laporan setebal) 521 muka surat dan Pengerusi PAC (Wong Kah Woh) pun telah membuat pengumuman dan sebagainya. Jadi, siasatan dan sebagainya telahpun dibentangkan kepada PAC.

“Itu saya kata, kalau kita memberi komen itu (mengenai isu perolehan vaksin Covid-19) akan ‘undermining’ (merendahkan kredibiliti) bukan KKM tetapi PAC.

“Kalau PAC sudah beri satu pandangan, (maka) selesailah. Namun kalau kita nak persoal, persoal PAC betul atau tidak (laporan siasatan terhadap perolehan vaksin Covid-19),” katanya, lapor Berita Harian.

Perdana Menteri Datuk Anwar Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata dakwaan perolehan vaksin Covid-19 yang tidak mengikut peraturan dan ditandatangani tanpa persetujuan peguam negara, dimaklumkan sendiri oleh KKM kepada beliau.

Beliau dipetik sebagai berkata Jemaah Menteri memandang serius dakwaan itu dan menjadi tanggungjawab badan penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menentukan kesahihannya.

Justeru, katanya, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa akan membentangkan Kertas Putih mengenai perolehan vaksin dan kos berkaitan pada sidang Parlimen.

Khairy Jamaluddin yang juga menteri penyelaras vaksin Covid-19 ketika perolehan itu dibuat menolak dakwaan Anwar sambil menjelaskan semua perolehan dibuat kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah dibawa ke Jemaah Menteri.

Sebelum ini, Wong pada 1 Dis 2021 dipetik berkata, urusan perolehan vaksin dilaksanakan secara teratur mengikut tatacara kewangan dibenarkan Kementerian Kewangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here