Tiga lelaki ditahan ceroboh gudang bersenjatakan pedang samurai

0
129

POLIS menahan tiga lelaki warga tempatan atas cubaan menceroboh sebuah gudang simpanan barangan keperluan harian menggunakan pedang samurai, playar dan pemotong besi di Jalan Gangsa, Kawasan Perusahaan, Telok Panglima Garang pada 3 Feb lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @Saleh berkata pihaknya menerima panggilan MERS 999 pada pukul 3.45 pagi daripada pengurus gudang, lelaki rakyat tempatan berumur 33 tahun sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya setibanya di lokasi pada 4 pagi, pihaknya berjaya menahan kesemua suspek di sekitar kawasan Telok Panglima Garang dan merampas seunit pemotong besi, sebilah pedang samurai bersarung, sebilah pedang samurai tanpa sarung serta seunit playar.

“Hasil semakan mendapati ketiga-tiga suspek yang berumur 28 tahun sehingga 33 tahun mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik selain positif dadah jenis Methamphetamine hasil ujian air kencing.

“Mereka dipercayai aktif dalam melakukan jenayah itu sejak dua bulan lalu dan penahanan mereka telah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes pecah rumah sekitar Telok Panglima Garang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata kesemua suspek direman empat hari dan ditahan di Lokap Balai Polis Banting Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ceroboh.

Dalam kes berasingan, beliau turut melaporkan pihaknya memberkas lima lelaki warga tempatan yang disyaki memecah masuk sebuah premis perniagaan di Kampung Medan, Telok Panglima Garang pada 10 Feb lalu.

Katanya bertindak atas maklumat, pihaknya menahan dua suspek di sekitar Sungai Kapar, Klang 5 petang semalam dan hasil sosial siasat terhadap kedua-dua suspek, pasukannya menangkap tiga lagi rakan  suspek di kawasan Telok Panglima Garang kira-kira sejam setengah kemudian.

Ahmad Ridhwan berkata pihaknya turut merampas barangan perkakasan seperti mesin gerudi tanpa wayar, pemotong jubin, tukul putar tanpa wayar termasuk lima telefon pintar dan seunit gari jenama Chicago.

“Hasil semakan dapati kelima-lima suspek yang ditangkap berumur 27 tahun sehingga 37 tahun, dua daripadanya adalah pekerja bengkel dan tiga lagi merupakan pembaiki pendingin hawa dengan kesemua mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik.

 “Kesemua suspek direman empat hari dan ditahan di Lokap Balai Polis Banting IPD Kuala Langat dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pecah rumah,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here