Pencarum KWSP rayu Perdana Menteri lulus pengeluaran bersasar

0
148

PENCARUM Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terus mendesak kerajaan meluluskan pengeluaran bersasar simpanan itu sebelum sesi persekolahan bermula Mac depan.

Tegas mereka, pengeluaran kecemasan secara bersasar itu bukan dibuat secara suka-suka sebaliknya mendakwa memang berada dalam kesusahan ketika ini.

Menurut Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Azmi Mohd Tahir, itu suara pencarum di seluruh negara yang meminta pengeluaran KWSP segera diluluskan.

Malah katanya, beberapa pencarum sanggup turun ke pejabat cawangan KWSP negeri bagi menzahirkan situasi dan kesungguhan mereka dalam mendapatkan wang simpanan sendiri.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sehubungan itu diminta untuk melihat rayuan itu dengan mempunyai empati terhadap rakyat.

“Mereka (pencarum) sudah tidak pedulikan apa yang dikatakan masyarakat lain, yang penting tuntutan bersasar itu diluluskan dengan kadar segera sebelum sesi persekolahan 2023/2024 tidak lama lagi.

“Mereka ini ada maruah tetapi keadaan sangat tertekan, maruah diketepikan. Wajarkah seorang ketua pemimpin negara melihat semua ini?” katanya dalam kenyataan media, lapor Harian Metro.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang menegakkan hak asasi manusia dan suara rakyat, pihaknya menggesa Anwar meluluskan segera tuntutan berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, pengeluaran caruman itu yang diumpamakan ‘talian hayat’ kepada mereka yang memiliki caruman mencukupi bagi meneruskan kelangsungan hidup malah ada juga golongan memberikan pendapat berbeza.

Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan sedang mencari jalan lain selain simpanan KWSP bagi membantu kumpulan yang mengalami masalah kos sara hidup tinggi.

Beliau dilaporkan berkata, kerajaan sedang mencari alternatif lain yang tidak akan membebankan pekerja apabila mereka bersara nanti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here