Setiap parti terima sumbangan, tiada parti boleh hidup sendiri – Naib Presiden Pas

0
268

NAIB Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, parti itu bersikap terbuka dan sedia memberi kerjasama sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu menyiasat akaun parti berkenaan.

Menurut beliau, SPRM boleh menyiasat Pas sekiranya ada keperluan.

“Namun kita berharap segala tindakan sama ada daripada SPRM atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak bersifat politik dan memilih.

“Kalau bercakap soal duit, semua parti menerima sumbangan. Tiada parti yang boleh hidup dengan sendiri.

“Jadi kalau nak siasat, siasat semua dan sekiranya terdapat salah laku, boleh ambil tindakan,” katanya hari ini, lapor Berita Harian.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, Pas memang bersikap terbuka sejak dahulu berhubung perkara itu.

Bagaimanapun katanya, ia menjadi sukar dan masalah buat parti tertentu sekiranya akaun dibekukan memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin dekat.

“Apa yang saya lihat, kerajaan hari ini seolah-olah mahu membalas dendam terhadap Perikatan Nasional (PN),” katanya

Media sebelum ini melaporkan, beberapa akaun milik Bersatu masih lagi dibekukan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata siasatan masih berjalan dan pembekuan akaun belum dibatalkan.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan jumlah simpanan dalam akaun yang dibekukan SPRM kerana pegawai penyiasat masih dalam proses melaksanakan tugas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here