AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan sebuah bot bersama lima nelayan warga Indonesia yang disyaki menceroboh perairan negara untuk menangkap ikan di kedudukan 37.6 batu nautika barat daya Pulau Kendi, Georgetown malam tadi.
Pengarahnya Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata pihaknya yang sedang menjalankan rondaan Op Tanjung dan Op Pertiwi menahan bot itu pada 9.10 malam selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan ke atas bot itu mendapati ia dikendalikan oleh lima lelaki warga Indonesia berusia 18 hingga 35 tahun dan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri serta permit menangkap ikan di perairan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata selain penahanan mereka, pihaknya turut menyita bot, peralatan menangkap ikan serta hasil laut.
Menurut Abd Razak, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.
— BERNAMA