Bersatu lapor SPRM berhubung PH, BN belanja ‘mewah’ pada PRU-15

0
176

BERSATU membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perbelanjaan “mewah” Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), November lalu.

Dakwa Ketua Bersatu Puchong Shukor Mustaffa, terdapat pelbagai laporan mengenai PH dan BN menggunakan poster dan bendera dalam jumlah yang banyak untuk kempennya.

Malah beliau turut mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim, pengerusi PH dan presiden PKR, menggunakan helikopter mewah semasa kempen pilihan raya.

“Kami berharap agar satu siasatan menyeluruh oleh pihak SPRM dapat dilakukan terhadap PH dan BN, terutamanya terhadap Anwar dan keluarganya.

“Laporan ini memerlukan tindakan yang adil dan segera daripada SPRM,” katanya pada sidang media di luar ibu pejabat SPRM, lapor Free Malaysia Today.

Shukor juga mempersoal bagaimana anak Anwar, Nurul Izzah, boleh dilantik sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada perdana menteri itu tanpa menerima sebarang pampasan mahupun gaji.

Laporan itu menyusul desakan bekas pembantu Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad, yang mahu SPRM menyiasat PKR dan DAP berhubung perbelanjaan ketika PRU15, termasuk sumber dana.

Kenyataan Marzuki muncul selepas SPRM membekukan akaun Bersatu, dikatakan ada kaitan dengan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan berbilion ringgit bagi pakej rangsangan Covid-19.

Muhyiddin menafikan dakwaan sedemikian dan menegaskan pentadbirannya tidak pernah salah guna dana ketika beliau menjadi perdana menteri.

Shukor mendakwa pelbagai tuduhan dilontarkan terhadap Bersatu bagi mencipta persepsi negatif, terutama menjelang PRN.

Beliau juga mendakwa Bersatu dihukum tanpa “sebarang proses wajar”, sambil menyatakan akaun parti dibekukan sebelum SPRM melengkapkan siasatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here