PAS Selangor sasar tanding lebih 30 kerusi DUN

0
197

PAS Selangor menyasarkan bertanding di lebih 30 kerusi DUN menjelang PRN yang dijangka diadakan sebelum Jun ini.

Pesuruhjayanya, Yunus Hairi berkata, hasrat itu sudah disuarakan dalam mesyuarat peringkat awal dengan rakan komponennya, Bersatu.

Katanya, PAS menyasarkan kerusi yang mempunyai peratusan pengundi Melayu melebihi 60% dan yakin gelombang Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 lalu masih bersama mereka.

“Saya dah arahkan setiausaha saya adakan perbincangan dengan setiausaha Bersatu sebagai perbincangan di peringkat awal.

“Dalam masa terdekat kita jangka akan ada jawapan kerana kita sasarkan PRN akan diadakan sekitar Mei selepas Aidilfitri,” katanya kepada FMT.

Selangor mempunyai 56 DUN. PAS, sebahagian daripada PN, hanya mewakili satu kerusi di Sijangkang yang diwakili Yunus, manakala Bersatu memiliki empat kerusi, iaitu Bukit Antarabangsa, diwakili Datuk Seri Azmin Ali; Gombak Setia (Hilman Idham); Selat Klang (Abdul Rashid Asari); dan Dengkil (Adhif Syan Abdullah).

Pada PRU 2008, PKR, DAP dan PAS yang menganggotai Pakatan Rakyat (PR) ketika itu berjaya merampas Selangor daripada BN selepas kekalahan mengejut gabungan itu. PR menang 36 DUN manakala BN hanya menang 20 DUN.

Bagaimanapun, PR dibubarkan pada Jun 2015 dan PAS keluar sebagai parti komponennya.

Ketika ditanya cabaran PN berdepan PH dan BN yang kini bersama dalam kerajaan perpaduan, Yunus berkata, keserasian antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat tidak dinafikan menjadi antara penentu akan dilihat pengundi, namun masih terlalu awal untuk menyatakan PH mempunyai peluang cerah mengekalkan pentadbiran kerajaan negeri.

“Selangor ada kekuatan dan urus tadbir sendiri. Kalau dilihat kerajaan pusat ketika ini, respons pada peringkat bawah tidak begitu baik,” katanya, merujuk kepada beberapa tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melanggar janji dan prinsip mengenai reformasi institusi diperjuangkannya sebelum ini.

Pelantikan Nurul Izzah sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada Anwar mendapat kecaman pelbagai pihak, termasuk aktivis anti-rasuah yang menuduh perdana menteri melanggar prinsip tadbir urus yang baik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here