Warga Bangladesh langgar mati penunggang motosikal diburu

0
163

POLIS giat memburu lelaki warga Bangladesh yang disyaki melarikan diri selepas melanggar penunggang motosikal dalam kemalangan maut di Jalan Teluk Piah Kanan, di Kuala Selangor, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, kejadian pukul 8.30 pagi itu membabitkan dua kenderaan iaitu Proton Waja dan Honda EX5.

Menurutnya, penunggang motosikal adalah lelaki tempatan berusia 33 tahun.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang bersendirian dalam perjalanan dari Kuala Selangor ke Bukit Rotan.

“Tiba di lokasi, Proton Waja yang datang dari arah belakang melanggar motosikal itu menyebabkan mangsa tercampak.

“Pemandu kereta kemudian dipercayai keluar dari kenderaannya dan bertindak melarikan diri,” katanya, lapor Harian Metro hari ini.

Mengulas lanjut Ramli berkata, penunggang motosikal yang parah dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bagaimanapun katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di wad kecemasan pukul 11 pagi hari sama.

“Susulan kemalangan itu, polis mempergiat usaha pencarian suspek di sekitar Kuala Selangor dan Jeram.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhamad Najmi Abd Rahman di talian 017-8028105 atau balai polis berhampiran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here