Kerjasama BN-PH bukan tandingan PAS di Kelantan

0
222

KERJASAMA antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) belum cukup kuat untuk merampas Kelantan daripada PAS, kata seorang penganalisis.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia berkata, gabungan-gabungan itu patut menganggap diri mereka bertuah jika dapat memenangi beberapa kerusi apabila berganding bahu di negeri pantai timur itu.

“PH tidak mempunyai pengaruh yang cukup kuat dalam kalangan akar umbi di Kelantan. (Negeri itu) kekal menjadi medan persaingan antara PAS dengan Umno.

“Amanah – harapan PH di Kelantan – gagal menembusi nusa teras Melayu luar bandar itu,” kata Fauzi kepada FMT, sambil menambah BN perlu menerajui kempen menentang PAS.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara bersetuju dengan berkata, tumpuan BN-PH di Kelantan sepatutnya adalah mendapatkan beberapa kerusi, berbanding merampas negeri itu daripada PAS.

Beliau berkata, kedua-dua gabungan itu akan menghadapi situasi yang sama di Terengganu.

Ketua Pemuda Umno Kelantan Noor Hariri Mohd Noor berkata, BN dan PH perlu bekerjasama jika mahu menjatuhkan PAS dan Perikatan Nasional (PN) di Kelantan pada PRN akan datang.

PH dan BN menunjukkan prestasi buruk di Kelantan pada PRU15 dengan PN menyapu bersih semua 14 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Pada PRU14, BN hanya menang lapan daripada 45 kerusi DUN di Kelantan, manakala selebihnya diperoleh PAS. PH gagal menang malah satu kerusi.

Fauzi berkata, tiada jalan pintas untuk bertapak di Kelantan, malah PH dan BN mesti menunjukkan mereka berkebolehan dan cekap dalam mengendalikan hal-hal ekonomi, terutamanya pada masa ini.

Beliau berkata, kedua-dua gabungan kerajaan itu perlu berusaha untuk mengurangkan kemiskinan dalam kalangan penduduk luar bandar, menyifatkannya sebagai langkah jangka panjang untuk meraih sokongan.

“Kisah kejayaan di negeri-negeri kendalian PH dan BN, seperti Perak dan Pahang, mesti diketengahkan untuk membuktikan mereka sebenarnya boleh bekerja untuk memperbaiki keadaan hidup rakyat, bukan semata-mata untuk kepentingan politik,” katanya.

Bagaimanapun, Azmi berkata, PH dan BN boleh menarik sokongan di Kelantan dengan menggunakan pembekuan akaun Bersatu sebagai bahan kempen.

Walaupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya bertindak ke atas akaun Bersatu, beliau berkata, perkara ini akan turut menjejaskan kempen PAS di negeri itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here