Tutup kelemahan PH-BN dengan burukkan PN

0
306

Oleh Mohd Azam Mohd Atan

Benarlah apa yang dikatakan oleh Menteri Besar Kedah, Sanusi Mohd Nor bahawa kerajaan PH dan BN kini masih belum boleh tidur sebilik walaupun sudah lebih dua bulan berkahwin.

Rasa sangsi antara satu sama lain nampaknya akan terus berlarutan kerana bukan mudah untuk kedua-duanya menghapuskan segala sejarah silam kerana perseteruan kedua-dua parti itu sudah lama menebal.

Kerjasama antara kedua-dua gabungan itu juga tidak ubah seperti telur di hujung tanduk yang mana apabila berlaku sahaja sesuatu krisis, ia akan mudah mencetuskan kepada perselisihan faham.

Buktinya, ketika dalam tempoh manisnya ‘perkahwinan’, beberapa perang mulut sudah tercetus antara kedua-dua pemimpin parti gabungan berkenaan.

Tingkah laku pemimpin DAP dan UMNO yang saling menyerang antara satu sama lain seperti melibatkan P Ramasamy dan Puad Zarkashi membuktikan yang bukan mudah untuk memadamkan ‘api’ musuh antara mereka berdua.

Ramasamy mengatakan Zahid menjadi liabiliti kepada PH kerana kes dan kemelut dalam UMNO manakala Puad mendakwa Ramasamy adalah beban kepada DAP.

Dalam sesetengah keadaan, terdapat beberapa pemimpin lain dalam PH-BN cuba untuk menunjukkan yang mereka boleh berbaik-baik, tetapi jauh di sudut hati masing-masing ia bukanlah semudah yang disangka.

Pelantikan Fahmi Fadzil sebagai jurucakap kerajaan juga antara petanda bahawa Anwar tidak mempercayai sepenuhnya Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Anwar memilih pemimpin daripada partinya sendiri untuk mengendalikan sidang media selepas mesyuarat kabinet ketika ketiadaannya berbanding memberi tanggungjawab itu kepada Zahid.

Untuk melihat kedua-dua gabungan dapat kekal lama dalam kerjasama politik adalah tipis kerana ia dibentuk atas dasar kepentingan Anwar-Zahid, dan bukannya dipersetujui penyokong akar umbi.

Penulis juga yakin pimpinan PH dan BN sendiri dapat merasai yang kerjasama mereka tidak disukai rakyat terutama pengundi Melayu menyebabkan mereka ketika ini cuba mencari pelbagai kaedah bagi menutup kelemahan mereka.

Mereka bimbang, bantahan rakyat terhadap gabungan itu akan diterjemahkan dalam Pilihan Raya enam negeri yang akan diadakan antara bulan Jun atau Julai ini.

Tambahan pula, prestasi kerajaan Perpaduan ketika ini tidak seperti diharapkan rakyat apabila kos sara hidup masih sama dan harga barang masih lagi melambung hingga membebankan golongan pertengahan dan bawahan.

Maka, tidak hairanlah ramai melihat tindakan membekukan akaun parti Bersatu seperti mempunyai motif politik untuk memberikan tekanan kepada PN ketika hampirnya PRN.

Walaupun Anwar menafikan ada campur tangan, ia tidak dapat mengubah persepsi rakyat kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukanlah badan yang beroperasi di bawah seliaan Parlimen.

Seperti diketahui SPRM berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang mana Anwar ketika menjadi pembangkang memperjuangkan supaya SPRM menjadi badan bebas yang dapat berdiri dengan sendiri.

Maka, bagi mengelakkan persepsi menebal rakyat bahawa tindakan membekukan akaun Bersatu bermotifkan politik, adalah lebih adil siasatan terhadap akaun parti kerajaan seperti UMNO, PKR, DAP dan Amanah turut dilakukan.

Ini kerana semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu, parti-parti yang berada dalam kerajaan juga dilihat berbelanja dengan pelbagai bahan kempen untuk memenangi hati pengundi.

Rakyat juga ingin tahu daripada mana sumber itu diperolehi dan bagaimana ia dibelanjakan supaya konsep ketelusan dan keadilan yang dilaungkan oleh pimpinan pembangkang sebelum menjadi kerajaan dapat dikotakan.

Dan yang paling wajar adalah siasatan itu sepatutnya diadakan selepas SPRM menjadi badan bebas dan bukannya ketika kedudukannya ketika ini yang dilihat oleh rakyat cenderung kepada mana-mana parti yang menjadi pemerintah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here