DAP mahu tanding 18 kerusi di Selangor termasuk DUN dirampas Warisan

0
167

DAP Selangor berhasrat bertanding semua kerusi dimenanginya pada PRU14, termasuk DUN Teratai yang “dirampas” Warisan susulan wakil rakyatnya Bryan Lai menyertai parti itu tahun lepas.

Naib Pengerusi DAP Selangor Ng Suee Lim berkata, selain itu partinya juga mahu bertanding di dua kerusi ditandingi Bersatu ketika menjadi sebahagian daripada gabungan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14, iaitu Semenyih dan Selat Klang.

“Setakat ini, kita akan pertahankan 16 kerusi dan campur dua kerusi tambahan. DAP juga bertanding di DUN Teratai kerana kita anggap kerusi yang menang akan ditandingi semula, itu perkara asas.

“Kerusi ditandingi mana-mana parti dalam PH akan dipertahankan, walaupun di tengah-tengah wujudnya ‘katak’, pengkhianat, tapi prinsipnya akan pertahankan kembali kerusi itu,” katanya, lapor FMT.

Warisan kini mempunyai seorang wakil rakyat di Selangor selepas Lai menyertai parti itu tahun lepas.

Sementara itu, Ng berkata, PH Selangor akan memuktamadkan pembahagian kerusi bulan ini.

Pada 14 Jan lalu, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, PH dan Barisan Nasional (BN) berpotensi menawan kira-kira 53 daripada 56 kerusi DUN jika kedua-duanya bergabung pada PRN.

Rafizi berkata, jumlah itu diperoleh berdasarkan dapatan awal menerusi keputusan PRU15 lepas, dengan 40 kerusi DUN dibolot PH.

Ketika ditanya sama ada DAP sedia menyerahkan kerusi kepada BN pada PRN, Ng berkata, perkara itu “tertakluk kepada perbincangan kelak”.

“Dalam politik semua, serba boleh, politik rencam dan unik mengikut keadaan semasa, saya tak menolak sebarang andaian tapi tertakluk perbincangan, kerusi menang memang sukarlah untuk dibincangkan.

“Memang tak bertolak ansur (serah kerusi menang), dalam konteks parti masing-masing. PKR dan Amanah (juga) punya prinsip sedemikian,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here