Pecah amanah RM1.3 juta, pegawai akaun ditahan

0
229

SEORANG pegawai akaun sebuah syarikat agensi pelancongan ditahan kelmarin manakala seorang lelaki warganegara Kemboja diburu selepas disyaki terbabit dalam kes pecah amanah membabitkan jumlah RM1.3 juta.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata lelaki berusia 30 tahun itu ditahan pada jam 6.45 petang di Balai Polis Kota Bharu.

Katanya, lelaki itu ditahan susulan laporan oleh pengarah syarikat jam 4.58 petang kelmarin, berkaitan kes pecah amanah membabitkan pekerja yang mengambil wang syarikat.

“Pengarah syarikat berkenaan membuat semakan akaun dan mendapati keraguan transaksi wang keluar ke akaun yang tidak diketahui.

“Pengadu mengesan suspek iaitu pekerja yang bekerja sebagai pegawai akaun membuat transaksi perbankan dalam talian secara tidak sah iaitu tanpa arahan dan bukan untuk urusan syarikat.

“Suspek mengaku mengambil wang itu sejak Julai tahun lalu hingga Januari tahun ini dan kesemua transaksi dipindahkan ke dua akaun milik rakannya,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini.

Muhamad Zaki berkata, suspek mengaku membuat transaksi pindahan wang milik syarikat berjumlah RM1.3 juta atas arahan rakannya yang juga warganegara Kemboja yang berada di Johor.

Beliau berkata, susulan itu, polis menahan lelaki itu dan suspek direman selama empat hari bermula semalam sehingga 29 Januari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan manakala lelaki warganegara Kemboja, Rafur Sufi sedang dikesan.

“Orang ramai yang mengenali atau mengetahui dan mempunyai maklumat berkaitan, boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Norfazila Baharom di talian 017-9268001 Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan atau balai polis berhampiran,” katanya lapor BH.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here