Rayuan Peter Anthony terhadap sabitan dan hukuman didengar 15 Mac

0
145

RAYUAN bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 yang dijatuhkan terhadapnya bagi kesalahan menggunakan dokumen palsu, akan didengar 15 Mac ini di hadapan hakim Mahkamah Tinggi baharu.

Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah berkata hakim baharu itu ialah Datuk Ahmad Bache, yang akan menggantikan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan. Hakim Ahmad merupakan hakim yang mengendalikan kes-kes sivil di Mahkamah Tinggi di sini.

“Tarikh baharu pendengaran rayuan itu ditetapkan oleh jurubahasa mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas memperoleh tarikh itu di Mahkamah Tinggi hari ini. Turut hadir Peter dan peguamnya, S. Devanandan.

Sepatutnya, hari ini ditetapkan untuk mendengar rayuan Peter di hadapan Hakim Sequerah.

Pada Jun tahun lepas, Peter, 51, memfailkan rayuan terhadap hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 26 Mei 2022 selepas mendapati dia bersalah memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.

Peter, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014, mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Bagaimanapun, presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) itu telah membayar denda berkenaan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here