Lelaki didenda RM30,000 tawar suapan rantai emas kepada polis

0
198

MAHKAMAH Sesyen Alor Setar hari ini menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM30,000 terhadap seorang lelaki selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan menawarkan suapan iaitu seutas rantai emas kepada seorang anggota polis, tahun lalu.

Tertuduh, V. Sancheev membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim, Rohatul Akmar Abdullah.

Hakim turut memerintahkan supaya tertuduh dihukum penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda ditetapkan itu.

Mengikut kertas pertuduhan, pekerja pasar raya mini itu didakwa menawarkan rantai tersebut yang dianggarkan bernilai RM4,649 kepada seorang anggota polis berpangkat Sub Inspektor dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Dia didakwa membuat tawaran itu sebagai sebagai balasan agar anggota polis berkenaan melepaskannya daripada menerima hukuman undang-undang bagi kesalahan memiliki dadah jenis methamphetamine yang boleh disabitkan dengan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Memetik laporan WartaRakyat, tertuduh didakwa menawarkan suapan tersebut di sebuah hotel dekat Jalan Pintu Sepuluh di sini kira-kira pukul 2 petang, 7 September 2022.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rehab Abdul Shukur mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan sementara tertuduh tiada diwakili peguam.

Terdahulu dalam rayuannya, tertuduh memohon agar dikenakan denda lebih ringan memandangkan dia masih perlu menyara ibu dan bapa selain adik serta isterinya.

Bagaimanapun Rehab yang bangun selepas itu meminta tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan apa dilakukannya kerana tindakan memberi rasuah kepada anggota polis semasa operasi narkotik merupakan sesuatu yang serius.

Mahkamah kemudiannya turut memerintahkan agar rantai emas itu dilucut hak kepada kerajaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here