Peguam veteran, Sri Ram dimasukkan ke hospital

PEGUAM veteran Datuk Seri Gopal Sri Ram sedang menjalani rawatan kerana jangkitan paru-paru di Hospital Gleneagles di Kuala Lumpur.

Sumber yang bercakap dengan syarat namanya tidak didedahkan, menafikan khabar angin bahawa bekas hakim Mahkamah Persekutuan berusia 79 tahun itu dijangkiti Covid-19.

“Ia disebabkan jangkitan paru-paru. Banyak khabar angin tentang Covid-19 adalah tidak benar. Kami bimbang tentang kesihatannya kerana usianya yang lanjut,” kata sumber itu, lapor MalaysiaKini.

Malaysiakini bagaimanapun tidak dapat mengesahkan dakwaan bahawa Gopal dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi.

Gopal mengetuai pendakwaan terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dalam perbicaraan rasuah 1MDB yang sedang berlangsung.

Disember lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Najib untuk melucutkan kelayakan Gopal daripada mendakwanya.

Permohonan bekas perdana menteri itu berdasarkan catatan Facebook bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali pada 2020, yang mendakwa Gopal mendekatinya pada Januari 2018 semasa beliau menjadi Peguam Negara, untuk memintanya menangkap Najib.

Gopal juga merupakan pendakwa utama dalam kes berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion yang melibatkan isteri Najib, Rosmah Mansor.

Bekas hakim itu dilantik untuk mengetuai pendakwaan dalam kes ini oleh pengganti Apandi, Tommy Thomas pada 2018.