Suami isteri didakwa bunuh pelayan restoran guna bom buatan sendiri

0
369

PASANGAN suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret hari ini kerana membunuh pelayan restoran menggunakan bom buatan sendiri di Pandan Indah, di sini, bulan lalu.

Khor Swee Boon, 33, dan isteri, Ng Hui Yee, 30, kelihatan tenang serta mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu membunuh seorang lelaki, Cho Lim Fong, 29, di hadapan sebuah restoran di Jalan Pandan Indah 1/22, Pandan Indah pada jam 8.55 malam, 29 Disember lalu.

Susulan itu, mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 35 KK yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Ketika prosiding, peguam bela pasangan terbabit, RSN Rayer, memohon budi bicara mahkamah membenarkan Hui Yee diberi jaminan mengikut Seksyen 388 Kanun Acara Jenayah.

Ia atas alasan tertuduh seorang wanita dan perlu menjaga dua anak berusia lima serta tujuh tahun yang kini di bawah jagaan ibu dan bapa Hui Yee.

“Bagi tertuduh lelaki, saya tidak boleh membuat permohonan untuk jaminan. Namun, mahkamah ada budi bicara untuk membenarkan jaminan kepada isterinya.

“Tertuduh tiada risiko untuk melarikan diri dan mengganggu saksi kes ini, selain setuju syarat tambahan seperti melaporkan diri di balai polis berdekatan jika diberi jaminan.

“Majistret sebagai wanita wajar memberi pertimbangan dan membenarkan permohonan jaminan berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ameera Sam Kamaruddin, membantah permohonan jaminan mengikut seksyen itu.

“Seksyen itu hanya menunjukkan budi bicara dan bukan wajib bagi mahkamah memberi jaminan. Dalam kes ini pembelaan beri alasan tertuduh adalah wanita.

“Tiada keadaan khas untuk benarkan tertuduh diberi jaminan. Mahkamah melaksanakan kuasa selepas meneliti keadaan khas dan istimewa,” katanya lapor BH.

Majistret kemudian menolak permohonan jaminan itu dan menetapkan sebutan kes seterusnya pada 23 Mac ini untuk serahan dokumen.

Dalam kejadian jam 8.55 malam pada 29 Disember lalu, seorang pelayan restoran maut apabila berlaku letupan ketika memegang bungkusan yang ditinggalkan di bonet keretanya.

Mangsa parah pada anggota badan dan tangan sebelum dikejarkan ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia pada jam 9.45 malam.

Hasil siasatan polis di lokasi kejadian membawa kepada penemuan beberapa objek dan kesan letupan antaranya kesan lekuk pada kereta mangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here