Dua lelaki didenda RM20,000 laga ayam

0
194

DUA lelaki, masing-masing didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu hari ini, selepas mengaku bersalah terlibat dalam kes laga ayam, tiga tahun lepas.

Hakim Nazlyza Mohamad Nazri membuat keputusan itu selepas Mohd Nazir Mohd Dagang, 47, dan Mohd Raimi Manaf, 33, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 32 (1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyebabkan satu perlagaan haiwan iaitu ayam di gelanggang laga ayam sebuah bangsal belakang rumah di Kampung Bukit Tok Beng, Kuala Nerus pada 4.15 pagi, 3 Sept 2020.

Hakim menetapkan hukuman denda RM20,000 atau enam bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu Mohd Shahihan Mohd Tahar dan Fazlizan Ishak Khan.

Mohd Nazir yang merupakan pengusaha keropok lekor diwakili peguam Puteri Hikmatul Raudah Dzulaika Mohamad, manakala Mohd Raimi, seorang juruteknik, diwakili peguam Najmi Adila Mohd Nasir.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here