SPRM tahan pengerusi koperasi bantu siasatan tuntutan palsu disyaki dilakukan dua syarikat RM20.3 juta

0
178

Oleh RIZQI ZABIDI

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengerusi sebuah koperasi di Kedah bagi membantu siasatan terhadap kes tuntutan palsu berkaitan insentif pembayaran projek penternakan lembu tenusu bernilai RM20.3 juta pada 2015.

Menurut sumber, lelaki berusia 57 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Kedah kira-kira pukul 3 petang semalam.

“Lelaki tersebut ditahan bagi membantu siasatan mengenai tuntutan palsu disyaki dilakukan dua syarikat secara bersubahat berkaitan insentif pembayaran projek tersebut di bawah program projek permulaan (EPP) 13 Kluster Tenusu, Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) bernilai RM20.3 juta.

“Maklumat diterima menyatakan tuntutan palsu itu dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar sedangkan tiada pembekalan dibuat,” katanya kepada Warta Rakyat.

Perintah tahanan reman terhadap pengerusi koperasi tersebut dikeluarkan Majistret, Muhammad Zul Hilmi Latif di Kompleks Mahkamah Alor Setar dekat sini, hari ini.

Dia yang diberi pakaian lokap SPRM tiba di Kompleks Mahkamah Alor Setar dengan diiringi pegawai suruhanjaya tersebut kira-kira pukul 8.50 pagi.

Tangkapan lelaki berkenaan merupakan yang ketiga dibuat SPRM berkaitan kes tersebut.

Sebelum ini, dua lelaki terdiri  pengarah dan pemilik dua syarikat berbeza, ditahan dan direman selama empat hari bermula 11 Januari lalu bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap mengesahkan penahanan lelaki tersebut namun enggan mengulas lanjut.

Katanya, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya. -SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here