Polis tumpaskan sindiket dadah

0
162

Oleh BADLISHAH MAT

SINDIKET penyeludupan dan pengedaran dadah berjaya ditumpaskan polis menerusi serbuan di sebuah pondok berdekatan kandang lembu di Kampung Sungai Division, Sungai Petani pada Isnin dan Selasa lalu.

Serbuan itu menyaksikan dadah seberat 1.67 kilogram (kg) bernilai RM58,496 dirampas oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, seramai lima lelaki termasuk seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 22 hingga 36 tahun ditahan dalam serbuan tersebut.

Zaidy berkata, serbuan pertama dijalankan pada pukul 11 malam dan berjaya menahan tiga lelaki termasuk seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 22 hingga 36 tahun.

“Hasil serbuan tersebut polis merampas dadah jenis heroin seberat 1660.5 gram dan syabu seberat 1007.5 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, serbuan kedua di lokasi sama pada pukul 12.15 malam membawa kepada penahanan dua lagi suspek yang merupakan pengembala lembu dan pengawal keselamatan berusia 35 dan 36 tahun.

“Ujian air kencing bagi kesemua suspek yang ditahan didapati negatif daripada sebarang jenis dadah, namun tiga daripada mereka didapati mempunyai rekod jenayah,” katanya. 

Zaidy berkata, pihaknya turut merampas lima buah motosikal dan sejumlah wang tunai dengan nilai rampasan itu berjumlah RM29,100.

“Bagi jumlah keseluruhan rampasan dadah dan barang yang disita itu pula adalah sebanyak RM87,569.

“Kesemua tangkapan kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here