China: Kes baharu harian COVID-19 dijangka cecah 3.7 juta minggu ini

0
159

BILANGAN kes harian baharu COVID-19 di China dijangka boleh mencecah rekod tertinggi 3.7 juta hari ini, ketika negara itu bergelut dengan gelombang jangkitan berikutan penamatan dasar ‘Sifar COVID-19’, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Menurut ramalan terkini syarikat penganalisis Airfinity yang berpangkalan di London, jumlah kematian boleh mencecah 25,000 kes sehari dalam tempoh 10 hari lagi.

Dianggarkan lebih setengah juta orang mungkin maut akibat jangkitan COVID-19 sejak awal Disember dan jumlah itu boleh meningkat kepada 1.7 juta menjelang akhir April.

Airfinity meramalkan gelombang jangkitan akan memuncak pada awal Mac iaitu sebanyak 4.2 juta jangkitan baharu setiap hari terutamanya di kawasan luar bandar.

Gelombang semasa dijangka berterusan sehingga Mac atau April, bagaimanapun ramalan sukar dibuat kerana pihak berkuasa sudah menghentikan penerbitan data mengenainya.

China setakat semalam dilaporkan tidak mengemaskini data harian COVID-19 selama tiga hari selepas kali terakhir ia menerbitkan jumlah jangkitan, kes teruk dan kematian adalah pada Isnin lalu.

Sehingga kini, tiada pemberitahuan rasmi mengenainya, selepas pihak berkuasa kesihatan pada bulan lalu mengumumkan akan beralih kepada laporan bulanan di bawah perubahan membabitkan pengurusan wabak yang mencetuskan lonjakan luar biasa di Beijing.

Bagaimanapun, ia tidak memberikan tarikh khusus bagi pelaksanaannya.

Rabu lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengulangi gesaan supaya Beijing lebih telus berkongsi maklumat strain yang terus menular dan keadaan sebenar di beberapa wilayah serta kawasan di luar bandar.

Menurutnya, kekurangan data yang diperlukan menyukarkan usaha mereka untuk membantu China menguruskan risiko peningkatan kes COVID-19 menjelang sambutan Tahun Baharu Cina yang bermula pada 21 Januari depan.

“Kami mahu bekerjasama dengan rakan penyelidik di Beijing, namun kami perlukan data lebih terperinci,” kata Pengarah Jabatan Penyelarasan Amaran dan Tindak Balas WHO, Abdi Rahman Mahamud.

Agensi kesihatan itu juga percaya China ‘menyembunyikan’ jumlah sebenar kematian yang dipercayai jauh lebih tinggi daripada angka yang diberikan Beijing.

Pihak berkuasa China dikatakan hanya merekodkan kurang daripada lima kematian harian sejak lebih sebulan lalu dan dianggap tidak konsisten walaupun barisan panjang dapat dilihat di pusat pembakaran mayat seluruh negara.

WHO turut memberi amaran tentang ancaman sub varian Omicron, XBB.1.5 yang mungkin mendorong lebih banyak kes selepas ia menyumbang sebahagian besar jangkitan di Amerika Syarikat (AS) dan Britain. – AGENSI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here