Siasat dakwaan campur tangan kes profil tinggi

0
183

KERAJAAN perlu menyiasat dakwaan campur tangan kehakiman dalam kes berprofil tinggi.

Pengamal undang-undang, Bastian Pius Vendargon berkata, perkara itu berlakuseperti didakwa seorang hakim bersara.

“Beberapa pendedahan dan aduan telah timbul berkaitan isu berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

“Adalah diharapkan panel yang bebas, berkecuali, objektif dan berani akan dilantik untuk memastikan keadilan,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), hari ini.

Beliau mengulas cadangan Jemaah Menteri supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan dibangkitkan dalam memoir kontroversi bekas Peguam Negara Tommy Thomas.

Menteri Undang-undang, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan RCI itu bertujuan mencungkil kebenaran dan mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk membaharui institusi perundangan negara.

Pada Ogos 2018, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer mendedahkan beliau telah ditegur hakim kanan kerana memberi penghakiman bertentangan dalam kes penukaran agama secara unilateral.

Katanya, hakim yang tidak didedahkan identiti itu menegurnya secara keras dan tidak bersesuaian dengan seseorang yang memegang jawatan seumpama itu.

Pada Februari 2019, Hamid mengesahkan afidavit sepanjang 65 muka surat menyokong saman difailkan peguam Sangeet Kaur Deo terhadap ketua hakim negara ketika itu, Richard Malanjum.

Afidavit yang tersebar luas itu mengatakan Malanjum gagal dalam tugasnya untuk melindungi dan memelihara kewibawaan badan kehakiman.

Hamid turut mendakwa berlaku campur tangan dalam kes liwat kedua terhadap Anwar Ibrahim, dan rayuan kes hasutan oleh mendiang Karpal Singh.

Susulan dakwaan itu, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berusaha merekodkan kenyataan daripada Hamid, tetapi beliau menegaskan hanya akan membuat pendedahan di RCI.

Susulan aduan dikemukakan dua hakim, Hamid yang diwakili pasukan peguam diketuai Vendargon, diarah menghadap Jawatankuasa Etika Hakim.

Pada Februari 2021, beliau digantung tugas selama enam bulan seterusnya menjadikannya hakim pertama menerima hukuman seumpama itu sejak Akta Jawatankuasa Etika Kehakiman 2010 diwartakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here