‘Mana janji PM mahu siasat tiga institusi berkaitan masyarakat India?’ – Subramaniam

0
198

KETUA Penerangan Sayap Bersekutu Bersatu S Subramaniam mengungkit janji Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan audit forensik terhadap tiga institusi berkaitan masyarakat India.

Subramaniam berkata dia menyambut baik langkah SPRM menyiasat peruntukan pakej rangsangan ekonomi kerajaan terdahulu, namun mengingatkan janji Anwar itu ketika berkempen pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

“Saya menyambut baik tindakan SPRM dakwaan penyelewengan RM92.5 bilion yang diperuntukkan untuk pakej rangsangan ketika pandemik Covid-19 sewaktu pentadbiran terdahulu.

“Tapi, bagaimana dengan audit forensik yang dijanji olehnya perdana menteri terhadap beberapa institusi berkaitan masyarakat India. Anwar membangkitkan isu ini hampir dalam setiap kali berjumpa dengan masyarakat India ketika kempen PRU15.

“Setelah menubuhkan kerajaan perpaduan tiba-tiba semuanya senyap,” katanya, lapor MalaysiaKini.

Tiga institusi berkaitan masyarakat India tersebut adalah syarikat pelaburan Maika Holdings, Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

Anwar sebelum ini berkata masyarakat India di Malaysia berhak mengetahui perkara sebenar di sebalik dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa berkaitan institusi tersebut.

Katanya, penyelewengan banyak telah terbukti, telah dibongkar dan perlu ada audit forensik serta Siasatan Suruhanjaya DiRaja (RCI).

MIC menubuhkan Maika Holdings pada awal 1980-an sebagai syarikat pelaburan dengan mengumpulkan RM106 juta daripada kira-kira 55,000 pemegang saham – kebanyakannya daripada kumpulan berpendapatan rendah.

Bagaimanapun, Maika Holdings gagal memberikan pulangan kepada pelabur – sesetengahnya ada yang membuat pinjaman dan menjual aset – selama bertahun-tahun.

Keadaan kewangannya bertambah buruk pada tahun 1990-an apabila Maika sepatutnya membeli 10 juta saham Telekom, namun hanya sejuta unit saham mampu dibeli.

Mitra pula pada awalnya dikenali sebagai Unit Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (Sedic). Ia dilancarkan pada tahun 2013 oleh bekas perdana menteri Najib Razak dengan matlamat meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah dalam kalangan masyarakat India.

Sedic dibubarkan apabila BN tumbang pada PRU14 dan dijenamakan semula sebagai Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra) ketika pentadbiran kerajaan PH.

Selepas kerajaan PH tumbang dan diambil alih oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN), Mitra diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan.

Isu dana Mitra menjadi hangat susulan penahanan beberapa pengarah syarikat yang disyaki terlibat dengan penyelewengan geran peruntukannya.

Sebanyak 337 syarikat, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dikenal pasti menerima geran peruntukan oleh Mitra sejak 2019 hingga 2021 dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM203 juta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Sementara itu, Subramaniam juga mendakwa Anwar sebagai mengamalkan “pendakwaan terpilih” kerana menurutnya bersungguh-sungguh dengan isu-isu melibatkan pemimpin Perikatan Nasional (PN) berbanding pemimpin BN.

“Apa terjadi dengan isu kapal tempur LCS yang merupakan senjata utama PH ketika berkempen. Katanya, siasatan kini di peringkat akhir. Masih, tiada sebarang kenyataan rasmi selepas Anwar mengetuai kerajaan.

“Nampaknya, seperti kapal tempur LCS, pemimpin PH yang sebelum ini membangkitkan isu ini menjadi ‘invisible‘ selepas menubuhkan kerajaan perpaduan dengan BN,” katanya.

Untuk rekod, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki pada Ogos 2022 berkata bahawa kes kapal tempur LCS di peringkat akhir siasatan.

Sebelum ini, pelbagai pihak mendesak SPRM supaya menyelesaikan segera siasatan berhubung kepincangan projek pembinaan enam kapal tempur LCS susulan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dibentangkan pada awal Ogos 2022.

Dalam laporan yang dibentangkan itu, PAC menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan kapal berkenaan.

Antaranya, laporan itu menyebut kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima, setakat ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here