Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Tangani segera kemelut politik Sabah, elak rakyat bosan - Veteran politik -

Tangani segera kemelut politik Sabah, elak rakyat bosan – Veteran politik

SUASANA politik Sabah yang kembali bergolak selepas tenang seketika dikhuatiri membuatkan rakyat bosan dengan kepemimpinan politik.

Veteran politik, Gaibin Ransoi, 66, berpendapat rakyat akan bosan apabila pemimpin politik yang sudah membentuk kerajaan yang dikatakan stabil, namun gagal mencapai kata sepakat dalam mentadbir negeri.

Katanya, rakyat juga bimbang jika kemelut politik yang tercetus berlanjutan lama atau gagal ditangani segera, ia boleh menjejaskan pelaksanaan pembangunan yang dirancang .

“Kemelut politik di Sabah ketika ini banyak menimbulkan masalah kepada rakyat yang masih memerlukan bantuan kerajaan selepas terjejas akibat penularan COVID-19.

“Politik Sabah yang kembali bergolak bukan saja membosankan rakyat, malah membimbangkan mereka jika pelaksanaan banyak rancangan pembangunan terbantut. Usaha pemulihan ekonomi negeri yang terjejas disebabkan COVID-19 juga pasti mendapat kesan sama,” katanya, hari ini lapor BH Online.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Petani dan Penternak Bumiputra Sabah (PETANAH), berpandangan kemelut politik tercetus kerana faktor berebut kuasa.

“Jika gagal diselesaikan segera, sudah tentu banyak perkara yang terjejas termasuk ekonomi dan pembangunan,” katanya berharap kemelut politik Sabah dapat diatasi segera tanpa perlu membebankan rakyat dengan pilihan raya yang terlalu kerap.

Katanya, pemimpin Sabah sewajarnya menjadikan kepemimpinan Kerajaan Perpaduan yang diterima semua lapisan rakyat sebagai contoh kerana dasar membela masyarakat dan usaha menangani kos sara hidup yang tinggi.

Kemelut tercetus apabila Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin membawa BN dan UMNO menarik balik sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.

Serentak itu, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah menggesa Hajiji meletak jawatan dan desakan sama turut disuarakan Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Gesaan itu dibuat kerana Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dianggap sudah hilang kelayakan disebabkan tidak berparti selepas keluar BERSATU, namun Ketua Menteri menyangkal dakwaan itu dan menyatakan Bung Moktar serta Mohd Shafie tidak faham undang-undang.