Sindiket guna lori minyak sawit seleweng diesel ditumpaskan

0
188

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi berjumlah 6,490 liter yang berselindung di sebalik penggunaan lori tangki sawit, dalam serbuan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Silibin, Ipoh, semalam. 

Pengarahnya Saifullizan Kamarul Zaman berkata serbuan yang dilakukan pada 1 petang itu menemukan empat motolori dan badan tangki lori serta pam elektrik yang digunakan bagi memindahkan diesel. 

“Siasatan mendapati mereka melakukan pengisian minyak diesel secara kerap dan berulang-ulang menggunakan sebuah kepala motolori di stesen minyak sekitar jalan Silibin bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Kepala motolori ini kemudiannya akan ke lokasi pengumpulan dan memindahkan minyak diesel daripada tangki lori tersebut ke sebuah tangki simpanan lain menggunakan pam elektrik, sebelum dipindahkan semula ke tangki khas ‘bekalan minyak sawit’ untuk dihantar dan dijual ke pihak industri di Lembah Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Saifullizan berkata semakan awal juga mendapati premis yang diserbu tidak mempunyai lesen sah atau dokumen kebenaran daripada pengawal bekalan untuk menjalankan urusan barang kawalan bersubsidi dan telah beroperasi sejak sebulan lepas. 

“Kita menahan lima individu iaitu dua warga tempatan dan tiga warga asing untuk tindakan serta siasatan lanjut. Turut disita dokumen dan peralatan berkaitan, dengan jumlah keseluruhan sitaan bagi operasi ini dianggarkan RM762,615,” katanya. 

Menurut Saifullizan semua rangkaian sindiket, pemilik kenderaan, pemilik premis dan stesen minyak yang terlibat disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. 

“Individu atau peniaga yang menjalankan kegiatan tidak bermoral ini diberi amaran keras supaya menghentikan kegiatan ini supaya pengguna dapat menikmati subsidi yang dibekalkan kerajaan sepenuhnya,” katanya. 

–BERNAMA 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here