Jabatan Perikanan Pulau Pinang tahan 4 vesel tempatan ceroboh kawasan tangkapan ikan

0
243

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

JABATAN Perikanan Pulau Pinang menahan empat buah vesel pukat tempatan selepas didapati menceroboh kawasan tangkapan ikan dengan beroperasi kurang dari 15 batu nautika dari pantai atau daratan terdekat di negeri itu.

Pengarah Pejabat Perikanan Pulau Pinang, Yazeeren A. Bakar berkata, penahahan itu dilakukan dalam operasi berasingan kelmarin dan semalam yang melibatkan nilai rampasan RM2.8 juta termasuk hasil tangkapan laut sebanyak 2.9 tan metrik.

Dalam operasi sama ujar beliau, seramai tujuh kru warga asing masing-masing empat warga Thailand dan tiga warga Myanmar turut ditahan selepas didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Jelas beliau, dalam rondaan rutin pertama pada Rabu lalu, pihaknya menahan dua buah vesel tunda Zon C yang berpangkalan di Kuala Kedah pada kedudukan 9.1 dan 9.8 batu nautika di barat Muka Head.

“Vesel-vesel itu juga dikesan menceroboh perairan Pulau Pinang dengan beroperasi kurang 12 batu nautika dari daratan atau pantai yang terhampir,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Batu Maung, Pulau Pinang hari ini.

Menurut Yazeereen, dalam rondaan rutin semalam pula, pihaknya menahan sebuah vesel tunda Zon C yang berpangkalan di Bagan Panchor, Pera pada kedudukan 10.8 batu nautika dari Gertak Sanggul.

Vesel itu ujar beliau, didapati menceroboh perairan negeri ini selain menggunakan tiga kru warga asing tanpa permit yang sah.

“Dalam operasi semalam juga, sebuah lagi vesel turut tunda Zon C yang berpangkalan di Kuala Kurau turut ditahan dan disita pada kedudukan 7.2 batu nautika dari Tanjung Piandang kerana selain didapati menggunakan empat kru warga asing tanpa permit sah,” katanya.

Tambah beliau, kesemua vesel yang ditahan itu disita di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar apa-apa syarat dalam lesen yang dikeluarkan berkenaan vesel itu dan dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Batu Maung untuk proses selanjutnya termasuk berdepan kompaun tidak lebih RM20,000.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, Jabatan Perikanan negeri memandang serius kesalahan menceroboh kawasan oleh vesel pukat tunda tempatan dan tidak akan bertolak ansur terhadap isu pelanggaran peraturan dan perundangan di laut.

Dalam perkembangan berkaitan, tambah beliau, pihaknya berjaya menahan dan menyita sebanyak 80 vesel tempatan yang menceroboh kawasan tangkapan ikan di perairan negeri itu sepanjang tahun lalu.

“Sehubungan itu, kita akan meningkatkan rondaan rutin dan penguatkuasaan di perairan negeri ini dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan bagi memastikan hasil laut kekal terpelihara sekali gus menjamin keselamatan makanan negara,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here