Pelajar jadi mangsa scammer, duit pusaka ibu RM22,000 lesap

0
179

SEORANG pelajar perempuan 19 tahun kehilangan RM22,300 wang pusaka ibunya selepas terpedaya tawaran untung lumayan skim pelaburan tidak wujud menerusi Telegram.

Ketua Polis Pahang, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata pelajar Tingkatan 6 itu dikatakan melayari laman sosial Facebook pada 14 Dis lalu.

Katanya, selepas dimasukkan ke dalam Telegram, suspek memaklumkan mangsa akan menerima pulangan lumayan dalam tempoh tiga jam sahaja.

“Mangsa memindahkan wang RM1,000 ke akaun suspek dan diberikan identiti (ID) serta kata laluan laman sesawang laman web pelaburan itu.

“Di dalam akaun itu, mangsa mendapati pulangan sebanyak RM16,000, tetapi suspek meminta beberapa bayaran sebelum mangsa dapat mengeluarkan wang itu sehingga mengalami kerugian RM22,300.

“Siasatan mendapati, sumber kewangan mangsa adalah daripada wang simpanan yang juga wang pusaka arwah ibunya,” katanya menurut Berita Harian.

Ramli menasihatkan orang ramai tidak mudah percaya dengan pelaburan yang dijanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.

“Sekiranya ingin membuat pelaburan boleh membuat semakan atau mendapatkan maklumat daripada polis, Bank Negara (BNM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebagai langkah pencegahan daripada menjadi mangsa pelaburan tidak wujud,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here