KKM gesa ambil dos penggalak, jangan tunggu vaksin bivalent

0
221

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menggesa orang ramai agar tidak menunggu vaksin bivalent Covid-19, sebaliknya segera mendapatkan dos penggalak kedua dengan vaksin sedia ada.

Menterinya Dr Zaliha Mustafa berkata vaksin sedia ada juga berkesan bagi mengelakkan gejala serius dan kematian ekoran jangkitan wabak itu.

“KKM menggesa orang ramai yang telah menerima dos penggalak pertama yang melebihi tempoh enam bulan agar mendapatkan dos penggalak kedua serta tidak menunggu vaksin bivalent.

“Ini kerana vaksin monovalen sedia ada masih sangat berkesan untuk mengurangkan gejala serius dan kes kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor MalaysiaKini.

Pada masa sama, dia berkata vaksin bivalent juga akan dibekalkan kepada Malaysia tidak lama lagi berikutan kelulusan pendaftaran bersyarat yang diberikan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (DCA) baru-baru ini.

Dia juga menyuarakan harapan agar peratusan pengambilan dos penggalak akan terus meningkat, terutama dalam kalangan golongan berisiko memandangkan ketika ini hanya 49.8 peratus sahaja rakyat Malaysia yang mendapatkan dos penggalak pertama dan hanya 1.9 peratus yang mengambil dos penggalak kedua.

Pada Disember lalu, DCA memberikan kelulusan bersyarat untuk vaksin Covid-19 Pfizer yang dikemas kini.

Vaksin baru itu dijangka dapat memberi perlindungan lebih baik terhadap subvarian BA.5 Omicron walaupun prestasinya dengan varian baru seperti XBB dan BQ.1 masih dikaji.

Dr Zaliha Mustafa

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini berkata vaksin bivalent akan tiba pada akhir Januari.

Buat masa ini, vaksin bivalent Pfizer hanya akan tersedia kepada mereka yang sebelum ini menerima vaksin Covid-19 Pfizer, Moderna, AstraZeneca atau CanSino.

Vaksin bivalent baru ini menjadi perhatian di tengah kebimbangan ramai terhadap keputusan China untuk melonggarkan protokol Covid-19 dan membuka sempadannya.

Setakat ini, kesan daripada langkah-langkah ini secara rasminya adalah rendah, namun pelbagai laporan berita mendakwa hospital dan bilik mayat penuh sesak sebaik China membatalkan sekatannya yang ketat sebelum ini.

Sementara itu, Zaliha berkata dia memberi perhatian serius terhadap kebimbangan rakyat berhubung peningkatan kes Covid-19 di China serta sekatan yang dibuat oleh beberapa negara lain terhadap pengembara dari negara itu.

Katanya, perkara itu sememangnya menjadi keutamaan dan KKM akan meningkatkan kaedah pembendungan penularan jangkitan Covid-19 dalam negara serta kesiapsiagaan bagi berdepan dengan sebarang kemungkinan peningkatan kes.

“Dengan pelanjutan Malaysia sebagai “Kawasan Tempatan Jangkitan” sehingga Jun 2023, ia memberi ruang kepada KKM untuk mengambil sebarang tindakan segera bila diperlukan.

“Ini termasuk mengubah dasar sedia ada terutama penjagaan kesihatan pengurusan pandemik Covid-19 di sempadan negara serta memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan kesihatan di mana-mana pintu masuk negara.

“Ia akan dilaksanakan jika perlu, bukan sahaja kepada pengunjung atau pengembara (warganegara Malaysia dan bukan warganegara) yang tiba dari China bahkan yang tiba dari semua negara di dunia,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here