Ada sebab jawatan presiden, timbalan tak dipertandingkan

0
225

DUA jawatan tertinggi UMNO – presiden dan timbalan presiden – tidak akan dipertandingkan pada pemilihan UMNO tahun ini, sekali gus menyaksikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan, kekal di kerusi masing-masing.

Jawatan ketua bahagian UMNO juga dikatakan tidak akan dipertandingkan bagi mengelak perpecahan peringkat akat umbi. Bagaimanapun, pertandingan bagi jawatan lain, termasuk Naib Presiden dan ahli Majlis Tertinggi (MT) akan dibenarkan.

Terdapat sekurang-kurangnya empat alasan bakal diberitahu kepada akar umbi dan penyokong parti itu, mengapa kedua-dua jawatan berkenaan tidak perlu dipertandingkan pada pemilihan kali ini.

Sumber-sumber yang rapat dengan Ibu Pejabat UMNO memberitahu Agenda Daily, alasan pertama ialah MT yang akan bermesyuarat sebelum Perhimpunan Agung UMNO (PAU) mulai 11 Januari ini, akan membuat keputusan kedua-dua jawatan itu tidak dipertandingkan.

Kata putus daripada MT dijangka diumumkan sehari sebelum PAU berlangsung, kata sumber itu ketika dihubungi, namun enggan mengulas sama ada Zahid dan Mohamad atau mesra dengan panggilan Tok Mat, akan mempengaruhi mesyuarat MT.

“Perbincangan dalam mesyuarat MT sentiasa terbuka, tetapi ketetapan dijangka dibuat bahawa jawatan presiden serta timbalannya tidak akan dipertandingkan.

“Mesyuarat itu juga akan menyediakan alasan kenapa kedua-dua jawatan itu tidak dipertandingkan untuk dimaklumkan kepada perwakilan, akar umbi dan penyokong, supaya mereka faham,” katanya lagi.

Sumber itu juga berkata alasan kedua ialah UMNO perlu memberi peluang kepada Zahid dan Tok Mat untuk memulihkan semula imej parti yang tercemar dan rosak ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan PRU-15 lalu.

Alasan ketiga, katanya berkait dengan PRU-15 lalu apabila berlaku perpecahan dalam kalangan pemimpin dan ahli akar umbi yang perlu diperbetulkan segera.

“Jika ada pertandingan jawatan presiden dan timbalannya, perpecahan akan terus merebak,” katanya tidak menolak kemungkinan MT membuat keputusan jawatan ketua bahagian juga tidak dipertandingkan bagi mengelakkan perpecahan lebih teruk.

Sumber itu berkata bagi alasan keempat, kemungkinan ada usul tergempar supaya jawatan presiden dan timbalan akan dibuat pada PAU 11 Januari ini, akan dibangkitkan, tetap dijangka tidak mendapat sokongan.

Katanya sesuatu usul tergempar perlu dikemukakan sebelum persidangan berlangsung iaitu selepas ucapan dasar presiden dan sebelum agenda lain diteruskan.

“Usul supaya kedua-dua jawatan itu boleh dibangkitkan, tetapi saya melihat ia tidak akan mendapat sokongan majoriti perwakilan. Sekali gus, bermakna usul itu tidak diterima.

“Ini menjadikan jawatan presiden dan timbalan presiden parti tidak akan dipertandingkan. Sekali gus menyaksikan Zahid dan Tok Mat kekal di kerusi masing-masing,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here