Kanak-kanak empat tahun mati dipercayai didera

0
182

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia, semalam selepas dipercayai menjadi mangsa dera di Senggarang, Batu Pahat.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun yang memaklumkan mangsa pengsan di rumahnya dan dibawa ke klinik untuk rawatan pada jam 6.45 petang, Jumaat lalu.

“Bertindak atas maklumat, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat telah menahan lima warga tempatan, dua lelaki dan tiga wanita berusia 15 hingga 37 tahun antara jam 12 tengah hari hingga 9.45 malam Sabtu.

“Kita percaya mereka terbabit dalam kejadian mendera mangsa sehingga mati.


“Hasil siasatan awal, mangsa ini dijaga oleh kakak kandungnya selepas ibu bapa mereka dimasukkan ke dalam penjara akibat kesalahan dadah, namun kemudian mangsa diserahkan kepada rakan kakaknya untuk dijaga,” katanya dalam kenyataan media, tengah malam tadi.

Beliau berkata, polis turut merampas barang yang disyaki digunakan untuk mendera mangsa antaranya pengecas telefon bimbit, sarung bantal, cadar, batang besi berukuran 29 inci, penyangkut baju, jaring penutup kipas dan batang besi penongkat motosikal.

Katanya, mangsa yang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, sejak Jumaat lalu disahkan meninggal dunia petang semalam.

“Pada awalnya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, namun pihak polis mengklasifikasikan semula kes ini akibat kematian mangsa iaitu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya lapor BH Online.

Kamarul Zaman berkata, semua suspek iaitu kakak kandung mangsa, rakan kakaknya dan pengadu kini direman tujuh hari bermula Ahad lalu sehingga 31 Disember ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here