VOKALIS kumpulan OAG, Radhi, 45, tidak malu mengaku di khalayak ramai bahawa dia belum pandai membaca al-Quran dan masih dalam fasa belajar.
Radhi atau nama sebenarnya, Muhammad Radhi Razali membuat pengakuan itu di hadapan lebih 2,000 penonton yang hadir Konsert OAG 30 Tahun Generasiku yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, semalam.
Penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu juga meminta peminat untuk terus mendoakan dirinya agar proses belajar membaca al-Quran dipermudahkan.
“Sejujurnya, saya belum pandai membaca al-Quran dan masih belajar.
“Semoga Allah memberikan peluang untuk saya pandai membaca al-Quran, doakan saya insya-Allah,” katanya sebelum memulakan konsert yang turut mendapat sokongan ramai, lapor Berita Harian.
Dalam masa sama, Radhi secara spontan menyebut OAG yang juga singkatan bagi Old Automatic Garbage itu antara lain membawa erti Only Allah Greatest sebagai tanda mengagungkan Yang Maha Esa.
Malah, pelakon utama filem Antoofighter terbitan 2008 itu sentiasa mengajak peminat yang hadir ke konsert berselawat ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad SAW.
Konsert OAG 30 Tahun Generasiku menjadi konsert berskala besar yang julung kali diadakan selepas tiga dekad band itu berada dalam arena muzik tempatan.
Antara lagu popular dinyanyikan termasuklah 60’s TV, Knocked Silly, Slumber, Generasiku, Dayang, PerMYsury, Biru dan Akustatik.