RM1 juta daripada Najib untuk ganti pencen Sharir – Saksi

0
344

MAHKAMAH Tinggi pada Khamis diberitahu, dana berjumlah RM1 juta yang diterima Tan Sri Shahrir Ab Samad daripada Datuk Seri Najib Razak adalah bagi menggantikan wang pencennya yang digunakan bagi kerja kegiatan politik di kawasan Parlimen Johor Bahru.

Shahrir turut memohon secara lisan kepada Najib supaya wang itu digantikan ketika bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri ketika itu di Pejabat Perdana Menteri (PMO), Putrajaya pada 2013.

Saksi ke-22 pendakwaan, Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurzahidah Yacop, 35, yang disoal balas peguam bela Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros, berkata perkara berkenaan dinyatakan Shahrir ketika disoal siasat SPRM, lapor BH Online.

Nurzahidah turut bersetuju dengan cadangan Syed Faisal bahawa Shahrir mendahulukan wangnya bagi membantu penduduk di kawasan Parlimen Johor Bahru dengan membaik pulih Projek Pemulihan Perumahan Puri Langkasuka (Seri Anugerah) di Larkin.

Saksi itu sebelum ini melalui pernyataan saksinya berkata, siasatan SPRM mendapati berlaku kemasukan wang RM1 juta ke dalam akaun Public Bank Berhad Shahrir melalui cek AmIslamic milik Najib pada 28 November 2013.

Nurzahidah berkata, Najib sendiri menulis dan menandatangani cek itu sebelum diserahkan sendiri kepada Shahrir di pejabat beliau (Najib) di PMO.

Katanya, beberapa transaksi pengeluaran berjumlah RM997,285.00 direkodkan selepas kemasukan cek itu antaranya RM543,800 bagi melaksanakan Projek Pemulihan Perumahan Puri Langkasuka, RM10,000 untuk perbelanjaan tugas sebagai Ahli Parlimen Johor Bahru dan RM443,485 dipercayai untuk tujuan peribadi.

Nurzahidah memberikan keterangan melalui pernyataan saksi terhadap Shahrir yang didakwa gagal mengisytiharkan RM1 juta diterima daripada Najib melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Sementara itu, Nurzahidah bersetuju dengan cadangan Syed Faisal bahawa LHDN tidak pernah membuat penentuan sama ada wang RM1 juta yang diterima Shahrir itu adalah pendapatan atau sebaliknya kerana lembaga berkenaan tidak menerima dokumen sewajarnya daripada saksi terbabit.

Saksi itu berkata, ada keterangan direkodkan daripada Timbalan Ketua Unit Audit Meja Selebriti, Penghibur Awam dan Pelbagai, Bahagian Penaksiran LHDN, Tuan Zulkfli Tuan Lah, yang menyatakan penerimaan wang berkenaan perlu dilaporkan kepada LHDN.

Bagaimanapun, saksi itu bersetuju dengan cadangan peguam bela bahawa beliau tidak menyerahkan dokumen sewajarnya kepada Tuan Zulkifli berhubung penerimaan RM1 juta yang menjadi perkara pokok dalam tuduhan, ketika merekodkan keterangan pegawai terbabit.

Syed Faisal: Mereka (pegawai atasan) buat cadangan dakwa Shahrir dengan pertuduhan tidak isytihar pendapatan walaupun LHDN tidak buat penentuan sama ada RM1 juta adalah pendapatan atau tidak?

Nurzahidah: Ya

Syed Faisal: Pegawai atasan puan tanpa mendapatkan input daripada LHDN dan tanpa pengesahan LHDN, membuat pertuduhan pada hari ini dan puan terpaksa bersetuju kerana sebagai orang bawahan puan mesti akur?

Nurzahidah: Ya

Syed Faisal: Sebagai pegawai bawahan, puan tiada kebebasan untuk menyuarakan bantahan terhadap pertuduhan ini?

Nurzahidah: Ya

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here